WASHINGTON: Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX, Elon Musk menarik balik kenyataan kerasnya terhadap Presiden Donald Trump selepas menerima panggilan daripada Naib Presiden JD Vance dan Ketua Staf White House, Susie Wiles.
Menurut Utusan Malaysia, perbualan itu dipercayai menjadi titik tolak kepada usaha meredakan ketegangan antara dua tokoh berpengaruh itu.
Musk sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila menyokong gesaan agar Trump dipecat, mengkritik rang undang-undang utama pentadbiran sebagai “menjijikkan”, dan mendakwa Trump terlibat dalam fail pesalah seks, Epstein.
Beliau juga mengancam untuk menubuhkan parti politik baharu sebagai tindak balas terhadap dasar-dasar pentadbiran semasa.
Namun, selepas perbualan dengan Vance dan Wiles, Musk memadam beberapa hantaran paling kontroversi di platform X dan menyatakan kekesalannya.
“Saya menyesal dengan beberapa hantaran saya tentang Presiden @realDonaldTrump minggu lalu. Ia keterlaluan,” tulisnya dalam satu hantaran baharu.
Langkah ini sebagai usaha untuk memulihkan hubungan yang penting kepada empayar perniagaannya, termasuk kontrak kerajaan bernilai berbilion dolar yang melibatkan SpaceX dan Starlink.
Ketegangan yang berlarutan berpotensi menjejaskan kepentingan perniagaan Musk di peringkat persekutuan.


























