Tindarama Rayner F. Udong
KOTA KINABALU: Orang ramai dijemput untuk menghadiri Pertandingan Akhir Manangon, Monusuyan dan Roisol di Hongkod Koisaan, Penampang pada 25 Mei ini.
Pengerusi pertandingan sempena Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri, Tindarama Rayner F. Udong berkata, program berkenaan akan bermula jam 8.00 pagi dan diadakan sebagai usaha memulihara warisan lisan dan memperkukuhkan penguasaan bahasa ibunda.
“Program ini bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya satu pendekatan proaktif bagi menyemai rasa cinta terhadap bahasa ibunda khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Ia bertujuan memperkukuh penguasaan lisan dan penulisan dalam Bahasa Kadazandusun piawai berasaskan dialek Bundu-Liwan, yang turut diperkaya dengan dialek Dusunik, Murutik dan Paitanik.
“Pertandingan ini menjadi pemangkin kepada keberanian dan kebanggaan murid menggunakan bahasa ibunda mereka, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bahasa asing dalam pertuturan harian,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Rayner, pendekatan melalui cerita rakyat, kisah benar, dongeng serta karya asli turut membantu pelajar mempertingkat struktur tatabahasa dan memperkayakan kosa kata Bahasa Kadazandusun.
“Bahasa adalah jiwa bangsa. Jika bahasa pupus, maka hilanglah jati diri. Kita tidak mahu Sabah kehilangan sebahagian besar bahasa etniknya,” tegas beliau.
Rayner turut menjelaskan bahawa pertandingan tersebut menjadi platform penting dalam usaha melestarikan bahasa-bahasa Dusunik, Murutik dan Paitanik (DMP).
Katanya, program itu turut menggalakkan kerjasama pelbagai pihak seperti Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Maktab Perguruan Kent, Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF) dan Dewan Boros Kadazandusun (DBK) bagi membina sistem sokongan pendidikan yang lebih mantap.
“Peranan keluarga juga sangat penting dalam menghidupkan kembali penggunaan bahasa ibunda di rumah. Program ini bukan sahaja berfungsi dalam konteks pendidikan, tetapi turut membantu membina semula identiti linguistik generasi muda yang semakin longgar ikatannya dengan budaya asal.
“Anak-anak hari ini berdepan cabaran pencairan identiti. Melalui tradisi lisan, mereka dapat kembali mengenal sejarah, asal usul dan siapa diri mereka yang sebenar,” ujarnya.
Tambah beliau, kejayaan program seperti ini tidak harus diletakkan di bahu institusi semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhan.
“Dengan pelaksanaan yang berterusan serta sokongan padu, saya percaya pertandingan ini mampu menjadi talian hayat terakhir dalam usaha menyelamatkan bahasa ibunda Sabah daripada pupus,” tambahnya.


























