KOTA KINABALU: Sebanyak 4,385 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di Sabah dari 1 Januari hingga 19 April tahun ini, dengan 83 peratus daripadanya melibatkan kanak-kanak berumur bawah tujuh tahun.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Maria Suleiman berkata, lima daerah mencatatkan jumlah kumulatif tertinggi iaitu Kota Kinabalu (705 kes), diikuti Papar (578 kes), Penampang (450 kes), Keningau (431 kes) dan Tawau (262 kes).
“Kesemua kes yang dilaporkan adalah ringan dan hanya memerlukan rawatan sebagai pesakit luar. Tiada pesakit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kematian dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, jangkitan HFMD kebanyakannya berlaku di rumah serta pusat pendidikan awal kanak-kanak seperti taska, tadika dan pra-sekolah.
Setakat ini, katanya, 10 kluster HFMD dilaporkan di sekolah, dengan lima daripadanya diarah tutup sepenuhnya manakala selebihnya hanya melibatkan penutupan kelas tertentu.
“Arahan penutupan ini adalah sementara bagi membolehkan siasatan lanjut serta kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi dijalankan untuk memutuskan rantaian jangkitan,” katanya.
Tambahnya, JKNS melaksanakan pelbagai langkah kawalan termasuk siasatan kes, pengambilan sampel makmal, promosi kesihatan serta pemeriksaan ke atas premis berisiko selaras dengan Garis Panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pemeriksaan itu, jelas beliau, bertujuan menilai tahap kebersihan dan keberkesanan proses disinfeksi khususnya di lokasi yang melibatkan kumpulan berisiko.
Dalam pada itu, Dr. Maria menggesa ibu bapa dan penjaga agar memainkan peranan dengan memastikan kanak-kanak mengamalkan kebersihan diri, termasuk mencuci tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas.
“Permainan, bilik air dan barangan yang kerap disentuh perlu dibersihkan secara berkala menggunakan sabun, air atau cecair disinfeksi. Barangan peribadi seperti cawan, tuala dan berus gigi tidak boleh dikongsi,” katanya.
Beliau turut menasihatkan agar kanak-kanak yang bergejala tidak dihantar ke pusat jagaan atau dibawa ke tempat awam untuk mengelakkan penularan jangkitan.
Maklumat lanjut mengenai langkah pencegahan HFMD boleh didapati melalui laman sesawang infosihat.moh.gov.my, Facebook KKM dan Facebook JKNS.
“JKNS akan terus memantau situasi semasa dan mengemas kini perkembangan berkaitan dari semasa ke semasa,” katanya.


































