Hajiji mempengerusikan Mesyuarat MTPNg.
KOTA KINABALU: Ekonomi Sabah mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat daripada RM82.1 bilion pada 2022 kepada RM83.2 bilion pada 2023, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Ini menunjukkan momentum penambahbaikan berterusan dan pembangunan positif di Sabah,” katanya sambil menambah bahawa ia selari dengan KDNK negara yang dijangka meningkat sebanyak 2.5 peratus melalui Kerangka Ekonomi Madani yang menyaksikan penstrukturan semula ekonomi Malaysia di bawah Belanjawan Negara 2025.
Memengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu hari ini, Ketua Menteri berkata, pencapaian tersebut adalah hasil kerjasama pelbagai pihak di negeri ini.
“Jika kita terus menyumbang tenaga secara positif melalui kerjasama erat, tidak mustahil untuk kita melaksanakan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya dengan jayanya,” katanya.
Beliau menggesa agensi-agensi berkaitan agar memastikan semua inisiatif dan program di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) serta pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dilaksanakan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Di bawah RMK13, Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri telah merangka Hala Tuju Strategik Pembangunan Negeri sebagai langkah proaktif untuk merancakkan ekonomi dan pembangunan Sabah dari tahun 2026 hingga 2030.
“Ia juga merupakan kerangka awal yang mengambil kira dasar, pelan induk dan perancangan pembangunan semasa. Pelbagai inisiatif akan digerakkan termasuk inisiatif Ekonomi Biru dan setiap agenda pembangunan negeri di bawah RMK13,” katanya.
Walaupun pelbagai kejayaan telah dicapai menerusi inisiatif Hala Tuju SMJ dan angka-angka positif daripada data yang dikeluarkan setakat ini, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri tidak boleh berpuas hati dan leka.
“Kita mesti terus bekerja keras dan bersikap lebih proaktif. Semua kepimpinan negeri, ketua-ketua jabatan serta pemimpin di peringkat daerah mesti turun padang lebih kerap untuk memantau pelaksanaan program atau projek yang sedang berjalan.
“Ini penting bagi memastikan semua program dilaksanakan dengan baik dan menyeluruh,” katanya sambil menambah bahawa sebanyak 1,265 projek dan program perlu disiapkan di Sabah pada tahun ini.
Semua agensi pelaksana, katanya, mesti sentiasa memantau kemajuan projek-projek ini dan memastikan ia disiapkan mengikut jadual.
Menurutnya, Sabah merupakan antara penerima peruntukan tertinggi daripada Belanjawan Negara, dengan RM6.7 bilion diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan tahun ini.
“Ini membuktikan suara rakyat dan pemimpin Sabah didengari di peringkat Persekutuan. Ia juga menunjukkan bahawa kita benar-benar serius dan akan terus berusaha memacu pembangunan negeri,” katanya.
“Kita perlu melakukan anjakan paradigma untuk memastikan kejayaan semua perancangan kita. Kita harus meninggalkan proses lapuk dan mengubah sikap yang hanya fokus kepada perkara negatif tanpa menilai atau menghargai kejayaan serta sumbangan kepada negeri,” tambah beliau.


































