Hajiji menandatangani plak sebagai simbolik Pelancaran Naik Taraf Daerah Penuh Sook di perkarangan Bangunan Urusetia Daerah Sook, Keningau, hari ini.
SOOK: Sook secara rasmi diiktiraf sebagai daerah penuh, satu pencapaian bersejarah yang bakal membuka lebih banyak peluang pembangunan dan kemajuan untuk penduduk setempat, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin.
Dalam ucapan alu-aluannya sempena Majlis Penarafan Sook sebagai Daerah Penuh hari ini, Ellron yang juga ADUN Sook berkata, pengiktirafan ini adalah hasil usaha keras serta kerjasama erat antara pelbagai pihak, termasuk Kerajaan Negeri, Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) Sabah dan jabatan-jabatan berkaitan.
“Proses penarafan ini telah melalui kajian dan perancangan yang teliti. Hari ini, kita meraikan kejayaan bersama yang pastinya membawa manfaat besar kepada masyarakat Daerah Sook,” katanya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyempurnakan Majlis Pelancaran Naik Taraf Daerah Penuh Sook di Perkarangan Bangunan Urusetia Daerah Sook, di sini, hari ini.

Menurut beliau, cadangan menaik taraf Sook dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 Januari 2024 dan diluluskan secara prinsip sebelum diwartakan secara rasmi pada 7 Ogos 2024.
Ellron menjelaskan, antara kriteria utama yang melayakkan Sook dinaik taraf ialah jumlah penduduk melebihi 30,000 orang, pola penempatan yang teratur, beban kerja pentadbiran yang meningkat, kemudahan jaringan jalan raya, serta kewujudan prasarana sosial dan utiliti awam yang mencukupi.
“Jumlah penduduk di Daerah Sook kini telah mencecah 62,171 orang, melebihi syarat minimum yang ditetapkan,” katanya.
Beliau menambah, jaringan jalan raya sepanjang 519.17 kilometer membolehkan hampir seluruh kawasan Sook diakses dengan mudah, sekali gus menyokong aktiviti ekonomi yang pesat berkembang.
“Sektor pertanian terus menjadi tunjang ekonomi daerah ini, dengan seluas 69,609 hektar tanah diusahakan untuk pelbagai tanaman termasuk kelapa sawit, getah, padi, kopi, koko dan buah-buahan,” katanya.
Ellron turut mengambil kesempatan memohon pertimbangan Ketua Menteri untuk membina sebuah dewan terbuka sebagai pusat komuniti dan sebuah pejabat urusetia bagi melengkapkan keperluan pentadbiran daerah itu.
“Sebuah dewan terbuka akan menjadi pusat utama bagi program kemasyarakatan, kebudayaan dan aktiviti belia, manakala pejabat urusetia yang kondusif penting untuk memastikan pentadbiran daerah berjalan lancar,” katanya.
Ellron menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas komitmen menaik taraf Sook, sambil menyeru penduduk untuk terus berganding bahu memajukan daerah itu.
“Dengan kerjasama semua pihak, saya percaya Daerah Sook akan terus berkembang menjadi daerah yang makmur, sejahtera dan menjadi model bagi daerah-daerah lain di negeri ini,” katanya.
Majlis penarafan ini sekali gus menandakan lembaran baharu bagi Sook, selaras dengan slogan “Sook, Atulai Atangkas” yang membawa semangat untuk terus maju ke hadapan.


































