KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) telah mengadakan pertemuan dengan AirAsia dan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sabah/Labuan bagi meneroka peluang kerjasama dalam memperkukuh ekosistem pelancongan negeri.
Perbincangan yang dipengerusikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai bertujuan mengeratkan hubungan antara sektor penerbangan dan perhotelan bagi menyokong sasaran pelancongan Sabah tahun ini.
Antara isu yang dibincangkan adalah peranan sektor perhotelan dalam menyokong usaha memperluaskan sambungan penerbangan melalui inisiatif bersama yang dapat menarik lebih ramai pelancong ke Sabah.
“Adalah penting bagi semua pihak berkepentingan, termasuk sektor perhotelan, untuk bekerjasama dalam mewujudkan persekitaran yang lebih mesra pelancong.
“Kerjasama yang efektif akan memastikan Sabah terus menjadi destinasi pilihan utama pelancong,” kata Joniston.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah wakil daripada Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Sabah, Persatuan Pelancongan Cina Malaysia, dan Persatuan Pelancong Sabah.
Joniston turut memaklumkan bahawa STB akan mengadakan sesi dialog yang lebih menyeluruh dengan pengusaha hotel, penyedia pengangkutan, dan agensi kerajaan berkaitan.
“Mengumpulkan semua pihak dalam satu platform perbincangan yang lebih inklusif akan membuka ruang kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada semua. STB akan memainkan peranan dalam memudahkan perbincangan ini,” tambahnya.
Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (Operasi Penerbangan), Kapten Datuk Chester Voo; Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Kapten Datuk Fareh Mazputra; dan Pengerusi MAH Sabah/Labuan, Hafizan Wong.


































