PENAMPANG: Seorang lelaki warga emas ditemui rebah dan tidak sedarkan diri di tepi jalan berhampiran Beverly Hills Plaza, Bundusan, Penampang pada malam semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton mengesahkan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang telah menerima laporan berkenaan kejadian tersebut pada 16 Mac 2025.
Menurut beliau, pegawai perubatan yang tiba di lokasi telah mengesahkan mangsa, Leong Kee, 76 tahun, telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah di lokasi kejadian. Walau bagaimanapun, kes masih dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya dalam satu kenyataan.
Pihak polis kini sedang berusaha mengesan waris mangsa. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai mangsa diminta tampil ke balai polis terdekat atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Ahmad Amir Fitri Ab Rahman di talian 016-4492215.



























