Keadaan di lokasi kejadian.
KOTA KINABALU: Satu insiden runtuhan lantai tingkat satu dalam sebuah bangunan di Lorong Segama, Jalan Labuk, di sini berlaku pada malam tadi, mengakibatkan seorang wanita warganegara China mengalami kecederaan.
Kejadian itu turut menyebabkan tingkat bawah yang menempatkan sebuah restoran terjejas.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata,, Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Kota Kinabalu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu menerusi MERS 999 daripada orang awam sekitar jam 7.56 malam.
Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) segera digerakkan ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.

Pada 8.29 malam, sebuah jentera bomba dengan 15 anggota, satu pasukan JPAM dengan tiga anggota, serta sebuah ambulans Hospital Queen Elizabeth I dengan seorang doktor dan dua kakitangan perubatan tiba di lokasi.
Dalam operasi menyelamat, pasukan penyelamat menemui seorang wanita warga China berusia 55 tahun yang mengalami patah kaki kiri akibat runtuhan tersebut. Mangsa segera dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kasim berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa telah mengosongkan tingkat dua dan tiga bangunan tersebut, yang merupakan kawasan bilik sewa yang didiami 55 orang penghuni. Mereka telah ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara yang dibuka di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu.
“Untuk memastikan keselamatan kawasan, enam anggota polis dari Balai Polis Kota Kinabalu telah ditempatkan di lokasi bagi mengawal keadaan.

“Siasatan masih dijalankan oleh pihak bomba bagi mengenal pasti punca sebenar runtuhan dan mengelakkan sebarang risiko tambahan kepada orang awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Kasim menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan berada di kawasan kejadian sehingga siasatan selesai dan kawasan diisytiharkan selamat.
“Kerjasama daripada semua pihak amat dihargai bagi memastikan keselamatan semua yang terlibat,” katanya.


































