Haji Hajiji Haji Noor
TUARAN: Hospital Daerah Tuaran menerima sumbangan 16 unit penghawa dingin dan dua unit mesin dialisis daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang juga ADUN Sulaman dalam satu majlis penyerahan baru-baru ini.
Sumbangan ini bertujuan meningkatkan keselesaan pesakit serta mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan di hospital tersebut.
Pengarah Hospital Daerah Tuaran, Dr. Primus John berkata, kemudahan ini akan memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat, terutama pesakit yang memerlukan rawatan dialisis.

Dr. Primus (empat dari kiri) bersama Johnny (tiga dari kiri) serta kakitangan Jabatan Hospital Daerah Tuaran.
Tambahnya, sumbangan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kemudahan kesihatan di Sabah terus dipertingkatkan demi kesejahteraan rakyat.
“Saya, bagi pihak Hospital Daerah Tuaran dan seluruh masyarakat daerah ini, mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Menteri atas sumbangan yang amat bermakna ini,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah bekas Ketua Daerah Tamparuli, OKK Johnny Tangar; Penolong Pegawai Perubatan Unit Kecemasan & Trauma Hospital Tuaran, Jeles Musilim; Ketua Penolong Pegawai Perubatan Jabatan Pesakit Luar dan Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Tuaran, Sufrie Shukor; serta Penolong Pegawai Tadbir Bahagian Pengurusan, Noor Azidah Andrew Mohd Azmie, bersama beberapa pegawai kesihatan dan pemimpin masyarakat setempat.


































