Alijus (dua dari kiri) menyampaikan hadiah wang tunai kepada Micheal Goh sebagai juara pertandingan memancing, sambil diperhatikan oleh Muammar Ghadafi (dua dari kanan) dan Awg.Azman (kanan sekali)
TUARAN: Pertandingan memancing bukan sahaja aktiviti riadah yang menyeronokkan, malah turut berperanan dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta dan penganjur, kata Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tamparuli, Datuk Tpr. Alijus Sipil.
Menurut beliau, pertandingan seperti ini wajar diadakan dengan lebih kerap kerana ia mampu menyatupadukan masyarakat daripada pelbagai lapisan tanpa mengira latar belakang dan fahaman.
“Pertandingan memancing ini, seperti pertandingan lain, memberi kesan serta impak positif kepada masyarakat,” katanya ketika merasmikan pertandingan memancing Santai Hujung Minggu di Kolam Ko-Nelayan, Laya-Laya, di sini, baru-baru ini.
Pertandingan ini dianjurkan oleh Biro Penerangan Gagasan Rakyat Bahagian Tamparuli dengan kerjasama Biro Penerangan Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Tamparuli. Acara ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 90 peserta.
Dalam pertandingan tersebut, Micheal Goh dinobatkan sebagai juara selepas berjaya menaikkan ikan kerapu hibrid seberat 9.170 kilogram, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.
Tempat kedua dimenangi oleh Roy dari kumpulan Pioneer yang menaikkan ikan kerapu hibrid seberat 4.490 kilogram dan membawa pulang RM1,000, manakala tempat ketiga diraih oleh Armantino dari kumpulan Sabah West Anglers Team (SWAT) yang menerima hadiah RM500.
Selain itu, pemenang tempat keempat menerima RM300, tempat kelima RM200, sementara peserta yang menduduki tempat keenam hingga keempat puluh masing-masing membawa pulang RM100.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Bahagian Tamparuli, Muammar Ghadafi; Valerio Milton Gumbilai; Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Tamparuli, Awg. Azman Awg. Tuah; serta Ketua Penerangan Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Tamparuli.
































