Tun Musa ketika menyampaikan perutusan sempena MTHQ Peringkat Negeri Sabah 1446H/2025M.
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menzahirkan rasa sukacita apabila semakin ramai golongan remaja atau pelajar berminat dengan pengajian al-Quran.
Menurutnya, pertambahan positif bilangan Pusat Tahfiz Al-Quran kelolaan orang perseorangan dan swasta juga semakin meningkat dan perkara tersebut akan melahirkan generasi yang cakna Al-Quran.
“Generasi ini juga bakal menjadi pemangkin kepada revival kegemilangan Islam sebagai satu cara hidup yang komprehensif.
“Selaras aspirasi itu, saya mengharapkan agar golongan huffaz di negeri ini tidak hanya semata-mata memiliki kemahiran asas menghafal tetapi juga sewajarnya memberi nilai tambah dengan menggali potensi diri untuk menghayati dan mentadabbur ayat-ayat suci Al-Quran.
“Para huffaz mestilah berupaya untuk menghayati dan meneliti secara mendalam ayat-ayat suci Al-Quran yang terhidang dalam 30 juzuk dan 114 surah itu.
“Hikmahnya adalah untuk membolehkan golongan huffaz berada di barisan hadapan dalam konteks memelihara, memartabatkan kesucian dan keagungan Al-Quran,” kata Tun Musa semasa menyampaikan perutusan sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat negeri Sabah di Dewan Sa’adah Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), pada Ahad.
Tun Musa turut mengharapkan agar umat Islam khususnya di negeri ini berupaya mengukir tamadun dan kemajuan yang lebih cemerlang dan gemilang pada masa akan datang.
“Malahan, apa yang lebih mendesak di zaman yang penuh cabaran ini ialah melaksanakan serta menterjemahkan sepenuhnya ajaran Al-Quran,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Tun Musa yang turut diiringi isteri, Toh Puan Faridah Tussin menyempurnakan penyampaian hadiah kepada juara menunggu, qari Nashraf Ideen Nahar (Putatan) dan Nadirah Syazwani Sapari, wakil Keningau yang menjuarai kategori qariah. Bagi kategori remaja, MTHQ Peringkat Negeri Sabah 1446H/2025M menyaksikan Johan Qari disandang oleh Muhammad Iqmal Hidayat Tarib dan manakala Ain Fatihah Farid menyandang Johan Qariah kategori sama.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Haji Kadzim bin Haji Mohd Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah Hafazan Al Quran Peringkat Negeri Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong.


































