Yusri (dua dari kiri) ketika menyampaikan cenderamata kepada Tun Musa berupa helmet pasukan trafik PDRM.
KOTA KINABALU: Trend penurunan kes kemalangan dan kemalangan maut semasa sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini turut dicatatkan di Sabah.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Sri Mohd Yusri Hassan Basri berkata trend tersebut adalah sejajar dengan penurunan di peringkat nasional dan pihaknya akan terus mempergiat usaha bagi mengekalkan kadar penurunan berkenaan.
“Sepanjang Op Selamat, kadar kes kemalangan keseluruhan Negeri Sabah telah menurun sebanyak 13 peratus berbanding Op Selamat tahun 2024.
“Oleh itu, pihak kami akan terus mempergiat usaha bagi memastikan penurunan kadar kemalangan ini dapat dikekalkan, sekali gus menjamin keselamatan pengguna jalan raya di negeri ini,” ujarnya.
Tambah beliau, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan termasuk langkah pencegahan dan advokasi bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepatuhan kepada peraturan jalan raya serta arahan pihak berkuasa terutama PDRM.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Dr Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.
Menurut Yusri, kunjungan tersebut bertujuan untuk memaklumkan Tun Musa berkenaan dengan perkembangan keselamatan lalu lintas selain usaha JSPT bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya seterusnya menurunkan kadar kemalangan di Sabah.
“Banyak idea dan cadangan telah dibincangkan bersama Tun bagi memastikan keadaan lalu lintas di negeri ini dapat dipertingkatkan, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan berbanding statistik dua tahun lalu,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Pengarah (II) JSPT ACP Fauzi Osman, Ketua JSPT Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa dan Ketua JSPT Sabah, Superintendan Rosdi Mat Jusoh.


































