Orang ramai berkumpul di luar bangunan sekolah rendah di Daejeon, 160 kilometer di selatan Seoul, susulan insiden guru tikam murid lapan tahun sehingga meninggal dunia, Isnin lepas.
SEOUL: Polis Korea Selatan mengesahkan insiden guru menikam seorang murid berusia lapan tahun di sebuah sekolah rendah berhampiran bandar Daejeon pada Isnin lalu, sebagai serangan yang dirancang.
Menurut Utusan Malaysia, suspek yang berusia 40-an bagaimanapun mengakui tidak mempunyai sasaran tetap dan hanya memilih mangsa secara rawak, apabila kanak-kanak malang terbabit menjadi individu terakhir meninggalkan sekolah.
Polis dalam kenyataan berkata, kejadian berlaku di dalam bilik stor yang bersambung dengan bilik audiovisual di tingkat dua sekolah berkenaan.
Mangsa, dikenali sebagai Kim Ha-Neul, ditemukan parah dengan kesan tikaman di muka dan bahu, manakala suspek turut cedera di leher serta tangan akibat cubaan membunuh diri.
Kedua-duanya sempat dikejarkan ke hospital berdekatan, namun mangsa disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian manakala suspek masih menerima rawatan.
Menurut polis Daejeon, suspek mengaku menerima rawatan kemurungan sejak 2018, namun sentiasa tertekan selepas penolong Guru Besar menolak permohonannya untuk mengajar.
Suspek sebelum ini memohon cuti selama enam bulan pada 9 September tahun lepas, dan kembali bertugas pada 31 Disember lalu.
Insiden itu mencetuskan kebimbangan meluas di Korea Selatan mengenai keselamatan di sekolah, pemantauan kesihatan mental guru dan keupayaan sistem pendidikan negara mencegah kejadian serupa berulang.
Sementara itu, pemangku Presiden Korea Selatan, Choi Sang-Mok menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengarahkan Kementerian Pendidikan menjalankan siasatan menyeluruh.
“Sekolah seharusnya dijadikan sebagai tempat paling selamat bagi kanak-kanak. Tragedi yang memilukan ini tidak boleh dibiarkan berulang,” katanya.
Polis kini melancarkan siasatan terperinci mengenai motif serangan dan waran tangkap dijangka dikeluarkan sebaik sahaja suspek dibenarkan keluar daripada hospital.


























