Hajiji mempengerusikan mesyuarat di Menara Kinabalu, semalam.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mahu semua penjawat awam yang diberi tanggungjawab agar mengambil perhatian terhadap isu yang menjejaskan kesejahteraan rakyat.
“Saya mahu anda semua bersikap proaktif dan peka terhadap keperluan rakyat,” katanya dalam satu mesyuarat bersama Setiausaha Tetap, Ketua Jabatan, Pegawai Daerah dan Ketua Pihak Berkuasa Tempatan di Menara Kinabalu, di sini, kelmarin.
Ketua Menteri berkata, semua projek yang telah diluluskan untuk manfaat rakyat mesti dilaksanakan dengan segera.
Beliau menegaskan bahawa kerenah birokrasi perlu dikurangkan dengan mempermudah proses kerja, terutamanya dalam menyelesaikan isu berkaitan infrastruktur dan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik.
Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri telah melaksanakan strategi pembangunan untuk kesejahteraan rakyat dan berjaya meningkatkan hasil negeri kepada RM7 bilion tahun lalu melalui inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
Beliau berkata, langkah mesra pelaburan telah menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah, dan bukti kejayaan ini dapat dilihat apabila Taman Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) kini diduduki sepenuhnya, manakala Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) hampir mencapai kapasiti penuh.
Selain itu, beliau berkata, Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas telah memberi manfaat kepada Sabah dalam industri minyak dan gas, di samping Kerajaan Negeri sedang berunding untuk mendapatkan bahagian dan manfaat yang lebih besar bagi Sabah.
“Ini adalah pencapaian yang belum pernah dicapai sebelum ini, dan momentum ini perlu diteruskan dengan sokongan serta usaha semua pihak,” katanya.
Ketua Menteri turut memaklumkan bahawa Jemaah Menteri Negeri telah meluluskan pengambilan lebih ramai tenaga profesional, khususnya jurutera yang diperlukan di Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Air.
Beliau berkata, proses pengisian jawatan di kedua-dua jabatan sedang berjalan bagi memastikan keberkesanan kerja.
“Dengan pengambilan kakitangan ini, diharapkan masalah seperti isu bekalan air, antara lain, dapat diselesaikan,” katanya.
Hajiji juga meminta laporan lengkap dan segera daripada Jabatan Air mengenai masalah bekalan air di Sandakan, memandangkan hanya satu daripada tiga loji rawatan air yang beroperasi.
“Pihak konsesi mesti menunaikan tanggungjawab mereka mengikut kontrak untuk membekalkan air kepada pengguna di daerah tersebut atau berdepan tindakan,” katanya.


























