Hajiji menandatangani plak perasmian.
KOTA KINABALU: Pelancaran Projek Hab Tenaga, Minyak dan Gas bernilai RM8.88 bilion (USD2 bilion) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) bakal memainkan peranan penting dalam strategi tenaga dan perindustrian Malaysia.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, projek ini akan menjadikan Sabah sebagai hab utama dalam sektor tenaga di Asia Tenggara.
“SOGIP akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor tenaga yang penting untuk pertumbuhan ekonomi berterusan Sabah. Lebih penting lagi, projek ini akan membuka lebih banyak peluang untuk kerjasama, inovasi dan pembangunan dalam sektor minyak, gas dan tenaga, yang akan memberi manfaat kepada industri serta masyarakat setempat,” katanya.
Beliau menekankan bahawa pembangunan SOGIP akan memberi tumpuan kepada kelestarian alam sekitar.
“Ketika Malaysia bergerak ke arah mengurangkan jejak karbon, integrasi sumber tenaga lebih bersih seperti LNG memainkan peranan penting dalam strategi peralihan tenaga negara.
“Selain itu, sistem penyimpanan dan pengedaran tenaga di SOGIP sedang dibangunkan untuk menyokong matlamat tenaga boleh diperbaharui jangka panjang Malaysia.
“Dengan memastikan bekalan berterusan gas asli dan bahan api rendah karbon lain, SOGIP dapat membantu peralihan daripada kebergantungan kepada bahan api fosil kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan angin dalam campuran tenaga Malaysia,” katanya ketika merasmikan Projek Hab Tenaga, Minyak dan Gas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Projek ini merupakan kerjasama antara Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC), yang menguruskan SOGIP, dan Gibson Shipbrokers Limited, sebuah syarikat kepakaran dalam bidang maritim, tenaga dan industri berkaitan.
Dijalankan dalam dua fasa, projek ini akan menyaksikan pembinaan sebuah pelabuhan canggih untuk menyokong aktiviti pengangkutan dan perdagangan tenaga, dengan 80 peratus tenaga kerja terdiri daripada rakyat tempatan.
Hajiji berkata, kejayaan pelaksanaan projek ini bukan sahaja akan memperkukuh ekonomi domestik Malaysia tetapi juga menyokong keselamatan tenaga serantau serta meningkatkan perdagangan antarabangsa.
“Dengan sokongan kukuh daripada sektor swasta dan kerajaan, SOGIP dijangka menarik lebih banyak pelaburan dalam infrastruktur tenaga, kemajuan teknologi, dan pengembangan industri.
“Ketika Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran tenaga global, SOGIP akan memainkan peranan strategik dalam memastikan ketahanan ekonomi, kebebasan tenaga, dan pertumbuhan industri yang mampan,” katanya.
Hajiji turut yakin bahawa projek ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, latihan kemahiran dan pemerkasaan masyarakat.
“Dalam hal ini, saya sentiasa menekankan kepentingan untuk mengutamakan pengambilan pekerja rakyat Sabah dalam semua projek dan operasi di negeri ini. Saya mahu semua pemain industri mematuhi keperluan asas ini sebagai prinsip utama dalam komitmen kita terhadap pembangunan tempatan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kesungguhan Kerajaan Negeri dalam perkara ini jelas melalui penubuhan Majlis Kandungan Tempatan Sabah menerusi SMJ Energy pada Mei tahun lalu. Majlis ini berfungsi sebagai platform kerjasama antara pihak industri untuk mengenal pasti peluang dalam memperkasa kandungan tempatan dalam industri minyak dan gas.
“Melalui platform ini, Kerajaan Negeri akan mewajibkan semua pihak berkepentingan untuk melabur dalam latihan dan pembangunan tenaga kerja Sabah menerusi program jangka pendek dan sederhana yang akan dilaksanakan pada tahun 2025,” katanya.
“Saya ingin menegaskan semula komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memajukan industri minyak dan gas Sabah. Saya yakin, melalui kerjasama berterusan dan sokongan bersama, kita dapat memperkukuh industri ini bagi merancakkan lagi kemakmuran ekonomi negeri,” katanya.


























