Tayar kanan sebuah lori yang tercabut hingga menyebabkan nahas lima kenderaan di Kilometer 204 PLUS arah utara berhampiran Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka.
MELAKA: Membawa muatan serbuk simen berlebihan dipercayai punca tayar treler tercabut sehingga menjadi punca nahas yang meragut tujuh nyawa di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Simpang Ampat dekat sini, 23 Disember lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, ketika kejadian treler berkenaan membawa muatan serbuk simen melebihi 31 peratus atau 16,260 kilogram daripada had dibenarkan.
“Itu sebenarnya menyebabkan tayar treler berkenaan tercabut hingga menjadi punca kemalangan membabitkan lima kenderaan serta mengorbankan tujuh nyawa,” katanya ditemui selepas Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2025 di Lebuh Alor
Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Terminal Melaka Sentral di sini, kelmarin.
Beliau berkata, syarikat logistik di Johor itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada 4 Mac ini di bawah Seksyen 57 (1) (b) (vi) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
Menurut Muhammad Firdaus, pihaknya juga telah mengemukakan permohonan untuk melucut hak treler terlibat di bawah Seksyen 80 (4) APAD 2010.
Pada 23 Disember lalu, polis mengesahkan bahawa kemalangan maut di Kilometer 204 PLUS arah utara berhampiran Simpang Ampat, melibatkan lima kenderaan berpunca daripada tayar lori yang tercabut.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, mangsa yang maut adalah seramai tujuh orang membabitkan seorang pemandu dan seorang penumpang bas persiaran manakala lima lagi adalah pemandu dan penumpang kereta Toyota Estima.
Kata beliau, kenderaan-kenderaan yang terlibat adalah sebuah lori Foton, bas persiaran, Perodua Bezza, lori Nissan dan kereta Toyota Estima.
Mengulas operasi Tahun Baharu Cina, Muhammad Firdaus berkata, sebanyak 267 kenderaan dikesan melakukan 323 kesalahan daripada keseluruhan 2,419 kenderaan diperiksa.
Menurutnya, kesalahan tertinggi yang dikesan adalah lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh sebanyak 94 kes, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans tamat tempoh (88), kesalahan teknikal (85) dan lain-lain.




























