BEIJING: Cukai import balas China ke atas beberapa barangan Amerika Syarikat (AS) mula berkuat kuasa pada Isnin, ketika perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia semakin memuncak.
Menurut Utusan Malaysia, Beijing mengumumkan rancangan itu pada 4 Februari lalu, beberapa minit selepas tarif baharu AS sebanyak 10 peratus terhadap semua produk China mula berkuat kuasa.
Tarif terhad China terhadap barangan AS termasuk cukai sempadan sebanyak 15 peratus ke atas import arang batu dan produk gas asli cecair (LNG) dari Amerika.
Selain itu, terdapat juga tarif 10 peratus ke atas minyak mentah Amerika, jentera pertanian dan kenderaan enjin besar.
Berbanding dengan tarif AS yang menyeluruh, langkah China dilihat sebagai mewujudkan ruang untuk rundingan bagi mengelak konflik perdagangan meluas.
PENGUASAAN NADIR BUMI
Minggu lalu, pihak berkuasa China melancarkan siasatan anti monopoli terhadap gergasi teknologi, Google, manakala PVH Corp, syarikat induk untuk jenama terkenal AS seperti Calvin Klein dan Tommy Hilfiger, dimasukkan ke dalam senarai ‘entiti tidak boleh dipercayai’ Beijing.
China juga mengenakan kawalan eksport ke atas 25 logam nadir bumi, sebahagiannya merupakan komponen penting bagi pelbagai produk elektrik dan peralatan ketenteraan.
Beijing menegaskan penguasaannya dalam rantaian nadir bumi dengan menyekat eksport lima logam kritikal ke AS, yang digunakan dalam industri pertahanan, panel solar, bateri kenderaan elektrik serta produk tenaga hijau lain.
China menghasilkan kira-kira 60 peratus daripada nadir bumi dunia dan menyumbang 90 peratus dalam pemprosesannya.
Sebelum ini, pasaran kewangan pada awalnya berharap Presiden Donald Trump akan mengikuti pendekatan sama yang dilakukan dengan Kanada dan Mexico terhadap China, berhubung penangguhan selama sebulan pelaksanaan tarif selepas rundingan saat akhir bersama pemimpin negara itu.
Pakar berpendapat, Beijing mungkin membantah taktik Trump, yang mengumumkan tarif hanya dua hari sebelum ia berkuat kuasa dan sebelum berunding dengan pegawai China.
Presiden AS itu menuduh China, bersama Mexico dan Kanada, gagal membendung aliran berbahaya fentanyl ke Amerika.
Beliau juga mengarahkan Wakil Perdagangan AS (USTR) untuk menyiasat pematuhan China terhadap fasa pertama perjanjian perdagangan yang dimeterai pada 2020, semasa penggal pertamanya di Rumah Putih, di mana Beijing bersetuju untuk membeli lebih banyak produk Amerika.
Hubungan perdagangan AS-China membentuk ekonomi kedua-dua negara dalam beberapa dekad kebelakangan ini.
Sejak pengenalan tarif oleh Trump semasa penggal pertamanya, bahagian import AS dari China menurun dengan ketara.
Penurunan itu menunjukkan bahawa China mungkin berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menahan kesan tarif AS kali ini.
CUKAI BAHARU
Sementara itu, Trump mengumumkan untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium ke AS.
Bercakap kepada pemberita pada Ahad, Presiden AS itu juga menyatakan rancangan untuk mengenakan tarif balas terhadap negara lain, walaupun tidak menyebut secara khusus negara sasaran.
Pengumuman Trump mengenai rancangan untuk mengenakan cukai 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium ke AS dibuat hanya beberapa hari selepas beliau mencapai perjanjian dengan Kanada dan Mexico.
Tiga pihak itu bersetuju menangguhkan tarif 25 peratus yang sebelum ini diancam untuk dikenakan ke atas semua barangan dari kedua-dua negara.
Semasa penggal pertamanya sebagai Presiden AS, Trump memperkenalkan langkah sama dengan mengenakan tarif 25 peratus ke atas keluli dan 10 peratus ke atas aluminium, tetapi kemudian memberikan kuota bebas cukai kepada beberapa rakan dagang termasuk Kanada, Mexico serta Brazil.
Cukai import Kesatuan Eropah (EU) hanya diselesaikan selepas pentadbiran Joe Biden mengambil alih Rumah Putih.
Namun, tiada negara yang disebutkan jika terdapat pengecualian serupa sekiranya tarif baharu itu dilaksanakan dalam beberapa hari akan datang.
Hasrat Trump untuk mengenakan tarif balas akan memenuhi janji kempennya untuk melaksanakan cukai import pada kadar yang sama seperti dikenakan terhadap barangan AS.
Beliau juga menyatakan cukai import bagi kenderaan masih dalam pertimbangan selepas laporan mendakwa Trump sedang mempertimbang pengecualian terhadap tarif sejagat.
Trump berulang kali mengadu tarif Kesatuan Eropah (EU) ke atas import kereta Amerika jauh lebih tinggi berbanding cukai yang dikenakan AS.






























