Dr. Mohd. Arifin dan Nizam bersama ketua-ketua penerangan empat peringkat
PAPAR: Pusat Kecerdasan Buatan (AI) pertama di Sabah bakal diwujudkan sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menyokong ekosistem pembangunan digital di negeri ini.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, usaha tersebut merupakan langkah strategik ke arah transformasi teknologi dan ekonomi digital.
Menurut beliau, Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan turut serta dalam pelaksanaan program ini bagi memanfaatkan kepakaran sedia ada dalam bidang AI.
“Kerjasama dengan UMS diharapkan dapat membantu dalam merealisasikan penubuhan pusat AI ini, sekali gus memperkasa bidang kecerdasan buatan di Sabah.
“Perkara ini juga akan dibawa ke mesyuarat Kabinet Negeri untuk diperkenankan,” katanya ketika merasmikan Bengkel Penerangan Zon 5 dan Zon 6 di Beringgis Resort, Papar, semalam.
Turut hadir, Bendahari Gagasan Rakyat, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gagasan Rakyat, Datuk Isnin Aliasnih, serta ketua-ketua bahagian, ketua-ketua wanita, pemuda, beliawanis dan ketua-ketua penerangan empat peringkat dari Zon 5 dan Zon 6.
Sementara itu, Dr. Mohd. Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah menegaskan bahawa penubuhan pusat AI ini adalah langkah penting dalam menyokong usaha kerajaan Persekutuan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pusat data neutral.
Tambahnya, penggunaan AI kini tidak lagi boleh dielakkan, terutamanya dalam urusan harian yang bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.
“Penggunaan AI membawa perubahan besar ke arah peningkatan kualiti, produktiviti serta keupayaan menyelesaikan tugas-tugas yang lebih kompleks dan berimpak tinggi.
“Langkah ini juga dapat memperkasakan pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menggesa ketua-ketua penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di peringkat akar umbi agar sentiasa peka terhadap isu semasa, khususnya berkaitan fitnah dan dakyah yang tersebar di media sosial.
Menurutnya, tindakan pantas perlu diambil bagi menangkis penyebaran maklumat palsu yang boleh menjejaskan kredibiliti parti serta kepimpinan GRS.
“Jangan biarkan isu-isu yang tular, terutama yang berunsur fitnah dan provokasi terhadap pemimpin serta parti, dibiarkan tanpa sebarang tindakan. Jangan jadikan kedai kopi sebagai tempat menyebarkan berita tidak benar.
“Jika kita berdiam diri tanpa sebarang penjelasan, ia seolah-olah mengiyakan fitnah tersebut. Ini boleh menimbulkan persepsi negatif serta salah faham dalam kalangan rakyat yang akhirnya menjejaskan imej dan kekuatan parti,” tegasnya.




























