Adin (kanan) dan Razmi (kiri) di lokasi jambatan yang telah diperbaiki.
SANDAKAN: Pemimpin tempatan di Kampung Seng Kee, Karamunting, mengecam Timbalan Ketua Bahagian Parti Warisan P.186 Sandakan, Alex Wong yang didakwa mempolitikkan isu jambatan kampung itu.
Ketua Kampung Seng Kee, Adin Awang, dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Leila, Razmi Bidin, dalam kenyataan bersama hari ini berkata Wong memutarbelitkan fakta demi meraih kepentingan politik.
Mereka mengecam tindakan Wong yang didakwa mengelirukan orang ramai dan tidak bertanggungjawab.
Mereka mendakwa Wong sengaja membesar-besarkan isu itu di media walaupun jambatan tersebut telah dibaik pulih sepenuhnya sejak Januari lalu.
Mereka menjelaskan, jambatan itu runtuh pada 8 Januari dan mereka segera memaklumkan perkara itu kepada ADUN Karamunting, Datuk George Hiew. Keesokan harinya (9 Januari), pembantu khas beliau, Yap Hsiu Min turun ke lokasi untuk membuat tinjauan dan mengatur kerja pembaikan.
Menjelang 18 Januari, jambatan kayu baharu telah siap sepenuhnya, membolehkan penduduk kampung menggunakannya semula.
“Segala proses ini direkodkan, dan kami sendiri menjadi saksi bahawa isu ini telah lama selesai,” kata mereka.
Bagaimanapun, hampir sebulan selepas itu, Wong tiba-tiba menghebohkan isu tersebut di akhbar tempatan bertarikh 9 Febuari dengan mendakwa akan memohon peruntukan daripada Majlis Perbandaran untuk membaiki jambatan berkenaan—sedangkan jambatan itu sudahpun diperbaiki.
“Tindakan ini tidak lain hanyalah sandiwara politik semata-mata. Kami tak pernah nampak dia sebelum ini—atas dasar apa dia bercakap bagi pihak kami?” tegas mereka.
Adin dan Razmi turut meluahkan rasa marah terhadap kenyataan Wong, mempersoalkan kewibawaannya dalam isu ini.
“Alex Wong tidak pernah menjejakkan kaki ke Kampung Seng Kee. Dia langsung tidak berkomunikasi dengan kami. Malah, dia sendiri tidak tahu bahawa jambatan itu sudah pun siap dibaiki,” kata mereka.
Kedua-dua ketua masyarakat itu mendakwa bahawa Wong hanya mahu mencari publisiti tanpa benar-benar membantu komuniti.
“Mereka hanya tahu bergambar, mencipta cerita yang tidak benar, dan memperdaya rakyat. Taktik politik seperti ini sangat memalukan.”
Mereka mendesak Wong untuk turun sendiri ke Kampung Seng Kee bagi membuat permohonan maaf secara terbuka dan menjelaskan sebab beliau menyebarkan maklumat yang mereka sifatkan sebagai palsu dan mengelirukan.
“Jika dia masih ada rasa tanggungjawab, dia sepatutnya berani bertanggungjawab kepada rakyat dan bukannya terus menggunakan taktik kotor seperti ini.”
































