Azizah dan Linda bergambar kenangan bersama para peserta tarian etnik selepas penyampaian sijil penyertaan.
KOTA KINABALU: Kerajaan dicadangkan untuk memartabatkan budaya etnik Sabah dengan menjadikan pemakaian kostum tradisional etnik Sabah sebagai kod pakaian rasmi dalam mana-mana majlis kerajaan.
Presiden Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS), Datuk Seri Azizah Mohd. Dun berkata
pemakaian kostum tradisional daripada pelbagai etnik di Sabah bukan sahaja menampilkan keunikan dan keindahan budaya, tetapi juga berpotensi untuk dikembangkan sebagai produk komersial.
Menurutnya, pembuat kostum etnik di negeri ini telah menghasilkan pakaian tradisional yang pelbagai dan bermutu tinggi, bukan sahaja menarik minat masyarakat tempatan tetapi juga pelancong asing.
“Bagi memartabatkan lagi pemakaian kostum etnik Sabah, saya ingin mencadangkan kepada Kerajaan agar ia dijadikan kod pakaian rasmi dalam majlis-majlis keraian Kerajaan Negeri serta pada hari-hari tertentu yang difikirkan sesuai.
“Pada masa ini, setiap Khamis, kakitangan kerajaan mengenakan pakaian batik,” katanya ketika berucap pada majlis Malam Budaya Etnik Sabah di sini.
Turut hadir sebagai tetamu kehormat ialah Datin Seri Linda Ewit, isteri kepada Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, yang mewakili isteri Ketua Menteri. Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (JHEWA), Noorfaridah Haji Othman dan Naib Presiden PPS, Annie Louders.
Azizah turut menekankan kepentingan usaha berterusan untuk mengekalkan serta memperkasa budaya, bahasa dan adat etnik di Sabah agar tidak terpinggir dalam arus kemodenan dan perkembangan teknologi.
“Sabah mempunyai masyarakat yang sangat kaya dengan kepelbagaian budaya, terdiri daripada 35 etnik utama dan 217 subetnik, serta menggunakan lebih 50 bahasa dan sekitar 90 dialek. Kepelbagaian ini perlu dipertahankan agar dapat diwarisi oleh generasi muda pada masa hadapan,” ujarnya.
Beliau juga menggesa persatuan-persatuan etnik supaya memastikan generasi muda dapat bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing.
“Jika bahasa dan warisan budaya tidak dipertahankan, identiti sesuatu kaum akan hilang. Jika identiti hilang, apa lagi yang boleh kita banggakan untuk generasi akan datang?” katanya.
Azizah menegaskan bahawa rakyat Sabah perlu berbangga mempamerkan keunikan bahasa dan budaya mereka agar lebih dikenali di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Identiti budaya kita turut diperkuat melalui muzik dan lagu tradisional seperti Kadazan, Dusun, Bajau, dan Murut yang mempunyai bunyi instrumen serta irama tersendiri yang unik dan menarik.
“Kita harus ingat bahawa hanya dengan kestabilan dan perpaduan sesebuah negara dapat maju ke hadapan serta dihormati di peringkat antarabangsa.
“Kekayaan budaya juga merupakan khazanah negeri yang amat bernilai dan perlu dipertahankan, bukan hanya untuk warisan tetapi juga sebagai sumber ekonomi melalui industri pelancongan, seni kreatif, serta industri kecil dan sederhana berasaskan komuniti di Sabah,” katanya.
Seramai 32 individu terlibat dalam Program Latihan Tarian Tradisi Etnik Sabah yang diadakan sebelum ini, termasuk dua jurulatih dan 30 peserta daripada Biro Kebudayaan PPS dan Briged Muda PPS. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan latihan dalam pelbagai jenis tarian tradisional etnik Sabah.


































