PENAMPANG: Seorang wanita tempatan berusia 45 tahun maut setelah dirempuh sebuah kereta ketika berjoging di Kilometer 7.2 berhampiran ITCC Mall, menghala ke pekan Donggongon, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kejadian berlaku sekitar jam 6.20 pagi.
Katanya, mangsa dilaporkan dirempuh dari arah belakang dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, meskipun rawatan segera diberikan oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi.
“Pemandu kereta yang terlibat, seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun, tidak mengalami kecederaan dan telah ditahan polis untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pihak polis juga menyeru saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Saparila Ladoni, di talian 019-8095133.
Orang ramai diingatkan untuk sentiasa berhati-hati semasa memandu dan melintas jalan raya. Pihak polis turut menggesa agar tidak menyebarkan gambar atau video kejadian bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
































