KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah telah menggerakkan 204 pegawai penguat kuasa dan 72 pegawai pemantau harga di lokasi strategik seluruh negeri bagi memantau keberadaan bekalan, pematuhan undang-undang, serta pemeriksaan di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah untuk barangan keperluan perayaan.
Pendekatan ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan serta tindakan segera diambil terhadap aduan pengguna sekiranya berlaku ketidakpatuhan, kata Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidi.
Beliau turut melaksanakan walkabout kelmarin sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2025 yang berkuat kuasa dari 25 Januari 2025 hingga 2 Februari 2025. Program peringkat negeri Sabah itu dilaksanakan di Pasaraya Emart (Sabah) Sdn. Bhd.
Tempoh pelaksanaan SHMMP berlangsung selama sembilan hari, merangkumi empat hari sebelum hari perayaan, satu hari pada hari perayaan, dan empat hari selepas perayaan.
Sebanyak 12 jenis barangan telah diwartakan untuk pelaksanaan skim ini:
Ikan bawal putih
Udang putih besar
Bawang putih (China)
Kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing)
Lobak merah
Lobak putih import
Ubi kentang import (China)
Halia tua import
Kepak ayam
Babi hidup (ladang sahaja)
Daging babi (perut)
Daging babi (daging dan lemak)
Pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2025 ini dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, yang menetapkan harga di peringkat pemborong dan peruncit. Maklumat mengenai harga boleh disemak melalui laman sesawang KPDN di www.kpdn.gov.my.
Skim ini bertujuan menstabilkan harga barangan sepanjang musim perayaan serta memastikan bekalan mencukupi. Ia merupakan langkah prihatin kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum, agama, dan budaya menikmati perayaan dengan suasana harmoni.
Menurut Shahril, KPDN Sabah telah menjalankan pemeriksaan ke atas 4,617 premis dari 1 Januari 2025 hingga 15 Januari 2025. Hasil pemeriksaan, sebanyak 90 kes direkodkan dengan nilai kompaun berjumlah RM16,900.00 dan anggaran nilai sitaan RM123,943.70.
Beliau menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang melanggar peraturan di bawah skim ini berdasarkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, termasuk:
Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum:
Individu: Denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, atau kompaun sehingga RM50,000.
Syarikat: Denda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.
Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal:
Individu: Denda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000.
Syarikat: Denda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000.
Saluran Aduan Pengguna
KPDN menggalakkan orang ramai untuk melaporkan sebarang aduan melalui saluran berikut:
WhatsApp: 019-848 8000
Portal e-Aduan KPDN: http://eaduan.kpdn.gov.my
Call Centre: 1-800-886-800
Aplikasi Telefon Pintar: Ez ADU KPDN
































