SHENZHEN: Sebuah syarikat teknologi di China dikecam teruk selepas dilaporkan memasang kamera tersembunyi di dalam tandas pejabat, konon untuk memantau pekerja yang ‘curi tulang’.
Menurut Utusan Malaysia, media tempatan melaporkan, langkah kontroversi itu dilakukan oleh syarikat Lixun Electro-Acoustic Technology yang berpangkalan di Shenzhen.
Jurucakap syarikat mendakwa, tujuan kamera itu adalah untuk mengelakkan pekerja membuang masa dengan aktiviti tidak produktif seperti merokok atau bermain permainan video di dalam tandas.
Media China mendedahkan, Lixun bukan sahaja memantau aktiviti pekerja di tandas, malah turut memalukan mereka dengan memaparkan tangkapan layar individu yang dilihat membuang masa, termasuk mereka yang merokok, bermain permainan video atau melepak di tandas tanpa sebab.
Gambar-gambar itu kemudian dipamerkan di dinding khas sebagai hukuman dan amaran kepada pekerja lain.
“Kakitangan menghabiskan terlalu banyak masa di tandas untuk merokok atau bermain permainan video, yang menyebabkan ketidakselesaan kepada pekerja lain.
“Merokok di tandas adalah dilarang, dan tujuan pemantauan ini adalah untuk mencegah pekerja daripada berlama-lama di tandas atas alasan tidak munasabah.” jelas wakil syarikat itu.
Tindakan syarikat tersebut mencetuskan kemarahan dalam kalangan pengguna media sosial di China, dengan ramai menyifatkan ia sebagai pencerobohan privasi yang serius serta melanggar undang-undang buruh, namun laporan juga menunjukkan amalan seperti itu bukan perkara baharu di negara berkenaan.
Beberapa tahun lalu, sebuah syarikat teknologi di Xiamen, wilayah Fujian, turut menggunakan kamera pengawasan di tandas untuk memantau pekerja mereka dan mengurangkan masa rehat yang berlebihan.
Selain itu, beberapa syarikat lain dilaporkan memasang pemasa pada pintu bilik tandas atau menghadkan jumlah rehat ke tandas kepada sekali sehari.
Langkah-langkah ekstrem ini mencerminkan budaya kerja ketat di China, tetapi mencetuskan perdebatan hangat mengenai hak pekerja dan had kepada pengawasan majikan.






























