Masidi mewakili Ketua Menteri menyaksikan upacara menandatangani dokumen pada majlis itu.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Sabah kini semakin muncul sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan minyak dan gas hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Sabah dan PETRONAS.
“Kami berharap dapat meneruskan kerjasama dengan PETRONAS demi kepentingan terbaik Sabah,” katanya semasa memperingati perkembangan strategik dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran Kluster Kebabangan (KBBC PSC) susulan pemindahan rasmi hak operasi kepada ConocoPhillips Sabah Gas Ltd di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun mewakili Ketua Menteri pada majlis tersebut.
Pemindahan yang berkuat kuasa mulai 21 Januari 2025 itu menjadikan ConocoPhillips Sabah Gas Ltd, sebuah anak syarikat kepada syarikat tenaga global ConocoPhillips, sebagai pengendali tunggal KBBC PSC.
Sebelum ini, KBBC PSC dikendalikan oleh Kebabangan Petroleum Operating Company Sdn Bhd (KPOC), sebuah syarikat operasi bersama yang terdiri daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd, Shell Energy Asia Limited dan ConocoPhillips Sabah Gas Ltd.
KBBC PSC dijangka mengukuhkan keselamatan tenaga Sabah melalui penerusan PSC, peningkatan Perjanjian Jualan Gas Huluan Pasaran Domestik (UGSA) dan pengenalan UGSA baharu untuk menyokong bekalan gas kepada PETRONAS Floating Liquefied Natural Gas 3 (PFLNG-3).
Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), Datuk Ir. Bacho Pilong, turut hadir.


































