Yahya (tiga dari kiri) menyerahkan dokumen MoU kepada Zainal sambil disaksikan oleh Arifin (tengah).
KOTA KINABALU: Projek perumahan pelajar yang serba moden dan komprehensif dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM1.3 bilion bakal dibangunkan di negeri ini.
Projek perumahan itu merupakan usahasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dengan sebuah syarikat daripada Sarawak, Zecon Berhad di kawasan strategik bersebelahan Fakulti Perubatan Universiti Malaysia Sabah mulai akhir tahun ini.
Sebanyak 1,610 unit apartment akan dibina dan mampu menampung sehingga 6,732 pelajar tempatan dan antarabangsa serta kakitangan, di samping mewujudkan 600 peluang pekerjaan meliputi sektor profesional, pentadbiran dan buruh.
Projek yang dilaksanakan dalam tiga fasa itu turut merangkumi penginapan pelajar dan kakitangan yang berfokuskan kepada keselesaan dan praktikal, selain kemudahan berteraskan komuniti termasuk pembangunan masjid, tadika dan pusat asuhan kanak-kanak serta lot kedai, perkhidmatan apartment, perpustakaan, gimnasium, kafeteria dan perkhidmatan harian yang lain.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Mohd.Arifin Mohd Arif mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Zecon Berhad di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Selasa.
Mewakili MUIS menandatangani MoU itu ialah Yang di-Pertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin dan Setiausaha MUIS Ramlan Awang Ali yang juga Ketua Pegawai Eksekutif manakala
Zecon diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zainal Abidin Ahmad dan Pengerusi Zecon Engineering Sabah Sdn.Bhd, Datuk Abdul Kadir Rosline.
MoU ini telah mendapat kelulusan daripada Kabinet Kerajaan Negeri Sabah pada 12 November 2024. Manakala, pemilikan tanah akan terus kekal di bawah MUIS dengan kaedah konsep pembangunan Build, Lease, Maintain & Transfer (BLMT).
Zecon Berhad mempunyai pengalaman yang luas dalam sektor pembinaan, sektor infrastruktur air, sektor pembangunan hartanah, sektor tenaga bolehguna dan sektor kesihatan.
































