SYDNEY: Ulat merah jambu aneh yang sebelum ini dilaporkan sudah hampir pupus muncul semula berhampiran kawasan gunung berapi di Taman Negara New South Wales (NSW).
Menurut Utusan Malaysia, kemunculan ulat seakan lintah raksasa yang dipanggil pink slug itu dikesan di Gunung Kaputar oleh pasukan saintis tempatan.
Satu-satunya lokasi ulat sepanjang 20 sentimeter (cm) dengan lebar sekitar 6cm itu boLeh dikesan adalah di gunung berapi yang telah pupus di taman negara itu.
Pada tahun 2019 kawasan alpine itu dilanda bencana kebakaran belukar dengan anggaran 90 peratus populasi ulat aneh itu musnah.
Tetapi pada tahun 2020, 60 ekor ulat yang terselamat dikesan.
Sejak itu, Taman Negara dan Perkhidmatan Hidupan Liar NSW menjalankan aplikasi Slug Sleuth untuk meminta pelawat taman melaporkan kepada mereka jika melihat kelibat lintah merah jambu itu.
Spesies yang menyerupai siput tanpa cengkerang itu biasanya muncul di celah-celah batu selepas hujan atau pada pagi yang sejuk dan berkabus.
Sehingga kini terdapat kira-kira 850 laporan, termasuk beberapa dengan puluhan ekor yang bergerak serentak.
Pegawai projek spesies terancam NPWS, Adam Fawcett berkata, orang ramai boleh memuat naik gambar dan maklumat tentang bilangan ulat tersebut yang mereka lihat beserta lokasi dan waktunya supaya pakar boleh menentukan perkara seperti pilihan habitatnya, dan kesan perubahan iklim terhadap populasinya.
































