Masiung (kiri) menerima cenderahati darpada pengerusi penganjur Nor Hayati Mohd Adnan sambil disaksikan Nizam.
SANDAKAN: Pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di peringkat daerah, khususnya Ketua-ketua Penerangan, bukan sahaja perlu berperanan sebagai cybertrooper, tetapi juga bertanggungjawab memantau ahli parti yang berpotensi menjadi pengkhianat.
“Ahli parti, terutama mereka yang memegang jawatan dalam parti dan Kerajaan, yang bersikap ‘dua kaki’ wajar diawasi kerana mereka boleh menjadi duri dalam daging kepada parti.
“Kita tidak akan bertolak ansur terhadap ahli parti yang culas. Jika terbukti mereka menjadi proksi pembangkang, tindakan tegas termasuk penyingkiran serta-merta akan diambil,” tegas Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah.
Berucap semasa merasmikan penutupan Bengkel Penerangan Zon 9 dan 10 di sebuah hotel terkemuka di sini semalam, beliau menggesa Ketua Bahagian dan Ketua Penerangan memastikan tiada ahli parti yang memainkan peranan dua hala, iaitu menyokong kerajaan dan pembangkang serentak.
Menurut Masiung, pengkhianat parti ibarat barah; jika tidak dibendung dengan segera, ia akan merebak dan menjadi lebih parah.
Beliau turut menegaskan bahawa Ketua Penerangan Gagasan Rakyat perlu memainkan peranan sebagai cybertrooper yang berkesan untuk menangkis tohmahan pembangkang melalui media sosial.
“Unit Penerangan Gagasan Rakyat perlu diaktifkan sebagai pusat yang mampu melahirkan pekerja berkemahiran tinggi dalam bidang media. Kita juga perlu melahirkan idol TikTok yang berkemahiran tinggi untuk berhujah dan memerangi penerbitan media sosial pembangkang yang cuba mengaibkan parti serta kerajaan negeri,” tambahnya.
Sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), beliau menegaskan supaya setiap anggota jawatankuasa parti memerangi tohmahan dan fitnah pembangkang secara habis-habisan melalui media sosial.
“Kita perlu ‘gasak’ habis-habisan penerbitan video dan tohmahan pembangkang di media sosial. Jangan beri mereka peluang untuk mengaibkan kita,” tegasnya, disambut tepukan gemuruh daripada peserta bengkel.
Lebih 150 peserta menghadiri Bengkel Penerangan Zon 9 dan 10, yang turut dihadiri Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Pusat, Datuk Nizam Datuk Abu Bakar Titingan.


































