KINABATANGAN: Sembilan pekerja sebuah ladang di sini dikejarkan ke hospital setelah terhidu racun serangga jenis Carbosulfan UN3077 semasa menjalankan aktiviti membaja pokok sawit pagi tadi.
Setakat ini, lapan daripada sembilan mangsa telah dibenarkan keluar dari unit kecemasan Hospital Kinabatangan setelah pulih, manakala seorang lagi mangsa masih menerima rawatan lanjut di wad, namun berada dalam keadaan stabil.
Insiden tersebut berlaku sekitar jam 9 pagi di ladang berkeluasan 20 ekar.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.11 petang.
Sepasukan enam anggota bomba diketuai oleh PBK II Jasmani Osni, dengan khidmat pakar rujuk Hazmat JBPM Sabah, PPgB Mohammad Hannis Mokhtar bersama sebuah jentera (FRT-1) tiba di lokasi kejadian setelah menempuh perjalanan sejauh 45 kilometer.
Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Kinabatangan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba. Pasukan bomba bertindak segera dengan membuat persempadanan kawasan dan memasang sawar-sawar keselamatan untuk memastikan tiada risiko bahaya lain di kawasan tersebut.
Sebagai langkah keselamatan, pihak bomba turut menasihatkan pemilik ladang agar menyediakan dan memastikan penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) yang sesuai bagi pekerja semasa menjalankan aktiviti berkaitan bahan berbahaya.
Operasi dilaporkan terkawal pada jam 5.30 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.40 petang.


































