HONG KONG: China mengesan strain mutasi baharu Mpox clade Ib, ketika jangkitan virus itu merebak ke lebih banyak negara selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam global pada 2023.
Menurut Utusan Malaysia, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China berkata, ia menemukan satu kluster wabak subclade Ib, bermula dengan jangkitan seorang warga asing yang mempunyai sejarah perjalanan dan tinggal di Republik Demokratik Congo (DRC).
Empat lagi kes dikesan dalam kalangan individu yang dikenalpasti sebagai kontak rapat warga asing terbabit.
Gejala yang dialami oleh pesakit adalah ringan, termasuk ruam kulit serta lepuh.
Mpox merebak melalui hubungan rapat dan menyebabkan simptom seperti selesema dan lesi berisi nanah pada badan.
Walaupun gejala biasanya ringan, ia boleh membawa maut dalam kes yang jarang berlaku.
Pada Ogos 2024, WHO mengisytiharkan Mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global untuk kali kedua dalam dua tahun, selepas satu wabak di Congo merebak ke negara jiran.
Wabak di Congo bermula dengan penyebaran strain endemik, dikenali sebagai clade I.
Namun, varian clade Ib nampaknya lebih mudah merebak melalui hubungan rapat, termasuk seksual.
Varian itu merebak dari Congo ke negara jiran, termasuk Burundi, Kenya, Rwanda dan Uganda, mencetuskan pengisytiharan kecemasan daripada WHO.
Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China berkata, Mpox akan diuruskan sebagai penyakit berjangkit Kategori B, membolehkan pegawai mengambil langkah kecemasan seperti menyekat perhimpunan, menangguhkan sekolah dan menutup kawasan apabila berlaku wabak penyakit.




























