Ibu V. Thanes Nair, D. Nilaveni membawa gambar dan barangan milik mendiang semasa prosiding mahkamah di Mahkamah Sesyen Ipoh semalam.
IPOH: Dua guru tadika mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan meninggalkan kanak-kanak di bawah jagaannya tanpa pengawasan hingga mengakibatkan mangsa mati lemas, dua tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh, Esther Christina Samuel Ponniah, 60, dan M. Manisah, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibaca di hadapan Hakim Azizah Ahmad.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas V. Thanes Nair, 4, meninggalkan kanak-kanak tersebut tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan berpatutan baginya, dalam kesalahan dilakukan di sebuah tadika di Bandar Baru Sri Klebang, Chemor di dalam daerah Kinta pada pukul 10.07 pagi, 17 April 2023.
Pertuduhan terhadap kedua-dua wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-kanak 2021 dibaca bersama Sesyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Gary Xavier dan Jason Anthony.
Terdahulu, Mohamad Nazreen mencadangkan wang jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap tertuduh namun Gary memohon agar jumlah jaminan minimum RM2,500 dibenarkan kepada setiap anak guamnya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 setiap seorang beserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Akhbar pada 23 April 2023 melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki mati selepas tujuh hari dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan bedah siasat mendapati punca kematian akibat mati otak disebabkan lemas dan kegagalan fungsi organ.
Kejadian terjatuh ke dalam kolam renang taska itu berlaku pada hari pertama ibu mangsa menghantar anaknya ke sekolah.
























