Ismail Rosli
KOTA KINABALU: Tuduhan ‘skandal rasuah’ melibatkan tujuh wakil rakyat Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang kini dimainkan pihak pembangkang hanyalah taktik murahan untuk mencemarkan imej Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah 2025.
Timbalan Pengerusi Biro Penerangan Gagasan Rakyat Bahagian Tamparuli, Ismail Rosli menyifatkan tindakan tersebut sebagai usaha terdesak pembangkang untuk melemahkan GRS yang terus membangun dan membawa kemajuan kepada Sabah.
“Namun, kita perlu ingat bahawa tuduhan ini masih berada dalam peringkat siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Sehingga kini, tiada sebarang kenyataan rasmi yang membuktikan dakwaan tersebut. Ini menunjukkan spekulasi yang tular di media sosial semata-mata bertujuan merosakkan reputasi pemimpin yang telah berjaya membangunkan negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ismail, Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor telah menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan Sabah terus berkembang pesat.
“Beliau (Hajiji) tidak gentar menghadapi sebarang isu dan sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.
“Ini membuktikan bahawa GRS adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan meletakkan integriti sebagai keutamaan. Kepimpinan Hajiji tetap teguh dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk rasuah,” tambahnya.
Ismail yang juga Presiden Pertubuhan Rumpun Watan Sabah (Watan), menyatakan tuduhan pembangkang hanyalah permainan politik untuk menangguk di air keruh.
“Tuntutan agar Hajiji meletakkan jawatan bertujuan menghancurkan kestabilan dan kemajuan Sabah demi kepentingan politik sempit.
“Namun, rakyat Sabah cukup bijak untuk menilai bahawa tindakan tersebut tidak membawa manfaat, malah boleh memundurkan negeri ini.
“Sabah memerlukan pemimpin yang berwibawa, fokus kepada pembangunan, bukan individu yang terperangkap dalam permainan politik murahan. Hajiji telah membuktikan dirinya sebagai pemimpin yang bebas daripada skandal, sentiasa mengutamakan rakyat Sabah,” ujarnya.
Beliau menambah, pentadbiran Hajiji yang cekap dan visi jelas untuk masa depan Sabah telah membawa negeri ini ke arah lebih stabil dan makmur.
Ismail turut menyeru agar siasatan SPRM diberi ruang untuk diselesaikan tanpa gangguan.
“Rakyat Sabah yakin bahawa keputusan siasatan akan diumumkan secara adil dan telus.
“Hajiji telah memberi jaminan bahawa beliau tidak akan tunduk kepada tekanan politik mana-mana pihak.
“Sebagai rakyat Sabah, kita harus bersama-sama mempertahankan kemajuan yang telah dicapai dan menolak usaha menggugat kestabilan negeri demi agenda politik sesetengah pihak,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa Gagasan Rakyat di bawah pimpinan Hajiji berpegang kepada prinsip amanah dan integriti serta komited untuk terus memimpin Sabah ke arah kecemerlangan.
“Dengan kepimpinan GRS di bawah Hajiji, Sabah tidak akan terganggu oleh isu politik yang tidak relevan.
“Sabah akan terus maju, makmur dan mencapai kejayaan yang membanggakan tanpa dibelenggu isu yang sengaja ditimbulkan untuk mengganggu keharmonian dan kestabilan negeri.
“Kepercayaan rakyat Sabah terhadap GRS dan kepimpinan Hajiji tidak akan goyah. Pembangkang tidak akan mampu menandingi kekuatan dan keteguhan GRS dalam menerajui Sabah ke arah yang lebih baik,” katanya.


































