PETALING JAYA: Polis sedang menyiasat punca kematian termasuk unsur jenayah atau penyalahgunaan dadah membabitkan empat individu yang menghadiri sebuah sambutan tahun baharu di Bandar Sunway dekat sini Selasa
Menurut Utusan Malaysia, difahamkan keempat-empat individu itu maut di acara tersebut sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima empat laporan polis daripada PPUM berkaitan kematian melibatkan dua lelaki dan dua wanita warga tempatan.
Katanya, hasil siasatan mendapati keempat-empat individu berusia 20 hingga 40 tahun itu telah menghadiri Konsert Pinkfish di Bandar Sunway di sini semalam.
“Bedah siasat telah dijalankan pada hari ini dan kita masih menunggu keputusan toksikologi bagi mengenal pasti punca kematian.
“Pemeriksaan ke atas semua mangsa didapati tiada sebarang kecederaan luaran dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Ditanya sama ada kematian keempat-empat individu terbabit disebabkan penyalahgunaan dadah, Hussein berkata, ia masih dalam siasatan.
“Walau bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau keracunan melibatkan kesemua mereka.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mohd. Ridzal Puat di talian 03-56382122 atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah iaitu 03-78627222 untuk salurkan maklumat,” katanya.






























