PETALING JAYA: Seramai 26,380 individu ditangkap selepas terlibat dalam 19,352 kes penyeludupan dan pengedaran dadah di seluruh negara sejak Januari hingga November lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pihaknya mendapati kes penyeludupan dan pengedaran dadah banyak tertumpu di kawasan-kawasan bandar.
Katanya, Kuala Lumpur, Kedah, Selangor, Johor dan Pulau Pinang antara negeri tertinggi merekodkan kes penyeludupan dan pengedaran dadah.
“Ia diikuti dengan Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi Isnin.
Menurut Kok Chin, Selangor merekodkan tangkapan tertinggi iaitu seramai 3,968 orang diikuti dengan Kuala Lumpur (3,784), Kedah (3,058) dan Johor (2,837).
Beliau berkata, ia diikuti dengan Pulau Pinang (2,526); Perak (2,429); Kelantan (1,729); Pahang (1,238), Terengganu (1,195) dan Sabah (1,072).
“Kita juga melakukan tangkapan terhadap 870 orang di Negeri Sembilan, Melaka (836), Sarawak (490) dan Perlis (348).
“Analisis polis mendapati beberapa buah negeri sering dijadikan lokasi utama aktiviti penyeludupan dadah antaranya Kelantan yang merupakan laluan masuk utama bagi dadah yang diseludup dari segi tiga emas kerana bersempadan dengan Thailand.
“Selain itu, Johor, Sabah dan Sarawak turut menjadi lokasi tumpuan aktiviti tersebut kerana lokasi transit yang strategik akibat berhampiran dengan negara jiran.
“Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sebagai pusat ekonomi dengan infrastruktur pengangkutan yang maju turut menjadikan kawasan ini menjadi lokasi penyeludupan dan pengedaran dadah,” ujar beliau.
Sehubungan itu, tambahnya, pihak polis sentiasa mempertingkatkan operasi dan penguatkuasaan bagi menangani kes penyeludupan dan pengedaran dadah di negara ini.






























