Amisah bergambar bersama para hadirin majlis tersebut.
RANAU: Penghargaan kepada wanita terus diberikan bukan sahaja kepada mereka yang mencapai kejayaan dalam bidang kerjaya tetapi juga kepada mereka yang memberi inspirasi kepada generasi akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin menegaskan bahawa wanita merupakan tunggak utama dalam masyarakat.
“Golongan wanita bukan sahaja memainkan peranan penting dalam membina keluarga yang harmoni tetapi juga menjadi pemacu kepada perubahan sosial, ekonomi, dan budaya,” katanya.
Amisah turut menekankan bahawa anugerah seperti ini adalah satu platform untuk mengiktiraf wanita yang menjadi contoh teladan.
“Wanita yang berjaya dan menginspirasi orang lain perlu dihargai, sekaligus memperkasakan kedudukan mereka dalam pelbagai bidang,” katanya pada Majlis Malam Anugerah Idola Wanita Ranau 2024 yang diadakan di Hotel Perkasa Kundasang, dekat sini, kelmarin.
Pada majlis tersebut, Majalah Bakatnita Edisi Pertama 2025 turut dilancarkan.
“Ini adalah usaha yang sangat bermakna untuk meraikan kejayaan dan pencapaian wanita hebat di negeri ini. Saya berharap majalah ini akan terus diterbitkan untuk edisi-edisi yang akan datang,” katanya.
Amisah turut menekankan pentingnya peranan wanita dalam menentukan dasar negara yang mesra wanita.
Menurutnya, Malaysia telah memperkenalkan banyak dasar untuk memastikan kesamarataan gender, namun usaha lebih lanjut masih diperlukan untuk memberi peluang sama rata kepada wanita dalam pelbagai aspek kehidupan.
“Dasar mesra wanita perlu meliputi pelbagai bidang seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, kesejahteraan sosial, dan keusahawanan. Wanita perlu diberikan ruang yang lebih luas untuk menyuarakan pandangan dalam merangka dasar yang memberi manfaat kepada mereka,” jelasnya lagi.
Beliau menegaskan bahawa kebijakan mesra wanita akan memastikan golongan wanita tidak terpinggir dalam proses pembangunan negara dan dapat bersaing secara adil.
Majlis turut meraikan Tokoh Wanita Gemilang Ranau 2025, Datin Jaini Majid yang juga Penaung Pertubuhan Bakatnita Sabah.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam; Ketua Daerah, Muhasip Haji Ruman; Presiden Bakatnita Negeri Sabah, Ana Abdullah; serta ahli jawatankuasa pertubuhan itu.


































