Muhammad Faisal Mohamad Mohidin
KOTA KINABALU: Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) – Semenanjung menggesa agar perhimpunan yang dirancang diadakan esok (31 Dis) tidak diteruskan demi menghormati keputusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Pengerusi Sekretariat SABAR – Semenanjung, Muhammad Faisal Mohamad Mohidin menegaskan bahawa pelantikan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah adalah hak mutlak dan budi bicara Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, berdasarkan peruntukan undang-undang. Proses ini pastinya telah melalui pelbagai tapisan oleh pihak berkuasa berkaitan.
“Walaupun pihak polis memberikan kebenaran untuk berhimpun pada 31 Disember, saya berpandangan tindakan ini, jika tidak dikawal, boleh mencetuskan perpecahan atau ketegangan yang mampu menggugat kestabilan serta keamanan yang telah lama dinikmati di negeri ini,” kata Faisal, yang juga mantan pemimpin belia Sabah.
Beliau juga menegaskan bahawa perhimpunan tersebut tidak mempunyai locus standi untuk mempersoalkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai TYT. Ini kerana, menurut Perkara 1(1) Perlembagaan Sabah, pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah adalah atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada Ketua Menteri.
“Saya ingin menasihatkan adik-adik siswa dan siswi agar tidak terpengaruh dengan individu seperti Fahmi Reza. Kehadiran beliau ke Sabah dengan membawa karikatur yang menghina Tun Musa Aman adalah tindakan yang tidak menghormati seorang pemimpin veteran yang telah banyak berjasa dalam membawa pembangunan di negeri ini. Tun Musa adalah pilihan yang tepat untuk diangkat sebagai TYT Sabah ke-11, sebagaimana diperkenankan secara rasmi oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong.”
Faisal turut menggesa golongan muda untuk menggunakan saluran yang lebih konstruktif, seperti mengadakan forum atau wacana untuk membincangkan isu-isu seperti rasuah. Beliau juga menasihatkan para pelajar agar menghasilkan kandungan media sosial yang bermanfaat dan membina.
“Akhirnya, tanyalah diri sendiri, adakah tindakan seperti ini akan menjamin kejayaan akademik kalian? Sudah tentu tidak. Ibu bapa kalian juga pasti risau jika kalian terlibat dalam aktiviti sebegini yang tidak memberi manfaat,” katanya lagi.


































