Inisiatif untuk memperkasakan infrastruktur pendidikan di Sabah dan Sarawak adalah usaha yang berterusan bagi mencapai matlamat sifar sekolah daif.
Komitmen meningkatkan kualiti pendidikan negara adalah iltizam utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepanjang tahun ini.
Turut menjadi perhatian kementerian adalah usaha untuk meningkatkan pendidikan di Sarawak dan Sabah.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ini dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan (JTBPP), selaras dengan keputusan Mesyuarat Penyelarasan Perjanjian Malaysia (MA63) Mengenai Isu Pembangunan Pendidikan dan Kesihatan di Sarawak dan Sabah.
“Pada bulan Februari lalu, saya dan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn telah mempengerusikan secara bersama Mesyuarat JTBPP bagi menyelesaikan isu-isu pendidikan yang berbangkit di Sarawak. Manakala mesyuarat sama bagi negeri Sabah pula telah dipengerusikan bersama dengan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi Sabah yang juga exco pendidikan negeri, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif pada bulan November. Kedua-dua mesyuarat berlangsung dalam suasana harmoni, mencerminkan kesepakatan dan semangat perpaduan antara Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah.
“Fokus utama perbincangan dalam Mesyuarat JTBPP Negeri Sarawak adalah terkait dengan penambahbaikan sumber manusia, operasi pendidikan dan pembangunan infrastruktur di Sarawak. Hasilnya, KPM bersetuju sepenuhnya dengan 10 tuntutan yang dikemukakan Kerajaan Sarawak.
“Ini termasuk usaha untuk mengukuhkan pelibatan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), kebenaran mengambil guru Contract of Service (CoS) tertakluk kepada pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), pelaksanaan program
“Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berdasarkan keperluan atau keutamaan serta penglibatan dalam perancangan projek pembangunan pendidikan,” kata Fadhlina.
Beliau berkata, KPM turut bersetuju memberi perwakilan kuasa melulus projek penyelenggaraan sekolah yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak atau mana-mana pihak lain selain KPM kepada Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, tertakluk kepada garis panduan yang sedang berkuat kuasa.
Katanya, antara keputusan penting yang telah dipersetujui menerusi perbincangan dalam Mesyuarat JTBPP Negeri Sabah pula adalah berkaitan pengambilan guru baharu yang dipecahkan mengikut tiga wilayah iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Selain itu, mesyuarat turut bersetuju memasukkan citra Sabah dalam kurikulum dan dasar pendidikan negara.
“KPM turut meluluskan lima tuntutan tambahan yang dikemukakan oleh Kerajaan Sabah sebagaimana yang telah diluluskan kepada Kerajaan Sarawak. Ia melibatkan perancangan projek, perkongsian maklumat mengenai perpindahan pegawai kanan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) ke ibu pejabat KPM dan perkongsian data pendidikan.
“Selain itu, Kerajaan Sabah juga telah mengemukakan satu tuntutan baharu berkaitan fleksibiliti dan autonomi dalam penggunaan peruntukan bencana berdasarkan keperluan sebenar atau kesegeraan. KPM bersetuju dengan tuntutan ini dan akan menambah baik prosedur standard operasi (SOP) sedia ada untuk perolehan kecemasan bagi menentukan peruntukan serta kaedah perolehan. Ia dapat membantu penyelesaian segera ketika bencana dan mengatasi isu-isu berbangkit.
“Banyak pencapaian signifikan yang telah dicapai pada tahun ini hasil persefahaman dan kerjasama erat KPM dengan Kerajaan Sarawak dan Sabah.”
Fadhlina berkata, setiap usaha tentu ada hasilnya. “Sebagai contoh, pengambilan khas guru Sarawak telah berjaya direalisasikan baru-baru ini. Seramai 1,372 orang guru telah dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk mengisi kekosongan di Sarawak, sekaligus meningkatkan peratusan pengisian guru di negeri tersebut kepada 98.06 peratus.”
Pelaksanaan projek pembangunan semula bangunan sekolah daif juga diberi tumpuan khusus di Sarawak dan Sabah.
Menurut Fadhlina, sehingga Disember 2024, sebanyak 255 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif telah berjaya disiapkan di Sarawak, 62 projek lagi sedang dalam pembinaan dan baki 75 projek berada pada peringkat prabina. Manakala di Sabah pula, 226 projek telah siap sepenuhnya, 65 dalam fasa pembinaan dan 47 lagi di peringkat prabina.
Inisiatif untuk memperkasakan infrastruktur pendidikan di Sarawak dan Sabah adalah usaha yang berterusan bagi mencapai matlamat sifar sekolah daif. Ini penting bagi memastikan akses pendidikan berkualiti dapat disediakan untuk semua murid walau di mana sahaja keberadaan mereka.
“Saya sesungguhnya sedar bahawa masih banyak yang perlu dilaksanakan untuk terus meningkatkan kualiti pendidikan di Sarawak dan Sabah. Justeru, KPM beriltizam untuk terus meningkatkan kerjasama dengan kedua-dua kerajaan negeri ini dalam ruang lingkup semangat kesatuan MA63.
“Saya cukup percaya bahawa semangat “Segulai Sejalai” yang ternyata telah berjaya diterjemahkan oleh kerajaan Madani dengan sinergi kepimpinan pendidikan kedua-dua kerajaan negeri akan terus mengangkat kualiti pendidikan negara,” kata Fadhlina.


































