PETALING JAYA: Sindiket menyewakan tayar kepada pengusaha-pengusaha kenderaan berat seperti lori dan bas bagi membolehkan mereka lulus pemeriksaan Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) semakin berleluasa.
Menurut Utusan Malaysia, sindiket tersebut memperoleh keuntungan dengan menyewakan tayar kepada pengusaha dengan anggaran harga dari RM100 hingga RM300 untuk satu tayar, bagi membolehkan pemandu membawa kenderaan berat itu ke pemeriksaan Puspakom.
Ini membolehkan pengusaha-pengusaha kenderaan berat memperoleh penjimatan hingga ribuan ringgit kerana tidak perlu membeli tayar asli yang harganya sekitar RM1,100 untuk satu tayar.
Kenderaan berat seperti lori, bas dan treler mempunyai lebih dari empat hingga ke 12 tayar, bergantung kepada berat serta spesifikasi kenderaan itu.
Perkara ini secara langsung membahayakan pengguna dan lebih 30 juta kenderaan lain yang turut berada di lebuh raya bersama-sama dengan kenderaan berat yang menipu ujian pemeriksaan Puspakom.
Pengasas dan Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan Lori dan Bas, Hari Md Ali berkata, terdapat pengusaha kenderaan berat yang lebih mengejar keuntungan berbanding memikirkan tentang risiko mengenai apa akan terjadi sekiranya masalah terus diabaikan.
Menurut beliau, sebahagian pemandu sering memaklumkan kepada pengusaha mengenai keadaan kenderaan itu yang tidak sesuai berada di atas jalan raya, namun tidak diendahkan oleh pengusaha.
“Sebahagian kumpulan apabila nak pergi membuat pemeriksaan akan menyewa tayar dari pihak lain, ini terjadi disebabkan kos. Kos untuk satu biji tayar baharu dari RM900 ke RM1,000 lebih. Jadi kalau ada kenderaan itu ada 18 ke 20 tayar, bayangkan berapa kos untuk tukar.
“Perkara ini membebankan pengusaha apabila terdapat kos-kos lain yang meningkat, keuntungan mereka semakin kecil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Hairi memaklumkan bahawa sebahagian pengusaha turut gemar memilih untuk menggunakan tayar celup iaitu harganya dari RM400 ke RM600 untuk satu tayar.
Jelasnya, tayar celup merupakan tayar yang di mana bunganya diganti dengan lapisan getah baharu selepas diperiksa dan dibaiki.
Dalam pada itu, beliau turut mendakwa terdapat aktiviti rasuah atau budaya tawar-menawar berlaku di Puspakom bagi memboleh kenderaan-kenderaan berat itu lulus ujian tanpa pemeriksaan.
“Pengusaha itu akan bayar kepada kakitangan Puspakom yang terlibat, ia bergantung kepada tempat dan kenderaan itu sendiri. Sebagai contoh, kalau lori tiga tan maka pengusaha akan bayar dari RM300 ke RM400 untuk meluluskan ujian pemeriksaan. Jika lori kecil pula sekitar RM200 dan treler akan mencecah hingga RM600.
“Kadang-kadang pemeriksaan itu, kakitangan yang bertanggungjawab membuat pemeriksaan secara ala kadar, janji pasang itu dan ini, cuci kenderaan itu sedikit jadi mereka akan lepaskan pemeriksaan. Tidak ada ketelusan di sini,” dakwanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman menyedari kewujudan sindiket menyewakan tayar sebelum pemeriksaan kenderaan.
“Puspakom sedar perkara itu berlaku tetapi kami tidak ada bidang kuasa. Kita nak tahu tayar itu merupakan tayar disewa adalah susah kerana kenderaan itu datang memang sudah siap dipasang tayar tersebut.
“Bidang kuasa Puspakom mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 adalah untuk memeriksa kenderaan ketika ia dibawa. Jadi kalau mereka datang dengan tayar yang elok, tidak ‘botak’, keadaannya baik maka kita luluskan.
“Kita tahu bahawa ada orang cerita perkara ini berlaku, di media sosial pun ada yang iklankan tetapi tindakan atau punca kuasa bukan dari Puspakom,” jelasnya.
Mengulas mengenai aktiviti rasuah, Mahmood berkata, Puspakom menerima banyak dakwaan tersebut dan pihaknya giat melakukan pemantauan.
“Sepanjang kita menjalankan perniagaan ini, ada kakitangan kita yang didapati bersalah. Ini berlaku tetapi kita sentiasa memantau dan ingatkan kakitangan kita untuk sentiasa berintegriti,” tegasnya.
Tambahnya, Puspakom sentiasa berhubung dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras aktiviti tersebut.


































