Zamani (tiga kanan) menyampaikan cenderamata kepada Lau (dua kiri) selepas mesyuarat Lembaga Pengarah Kojasa baru-baru ini sambil disaksikan Timbalan CEO Kumpulan Qhazanah Bhd Rudy Jaglul (tiga kiri), CEO Kojasa Holdings Bhd Sim Fui (kanan), Ketua Pegawai Pelaburan dan Strategik Muhamis Marsadek (kiri) dan ahli lembaga pengarah Kojasa Holdings Berhad Datuk George Teo (dua kanan).
KOTA KINABALU: Syarikat pengimpot dan pemborong, Unaco Group, mengumumkan kerjasama dengan Kojasa Holdings Berhad, syarikat milik penuh Qhazanah Sabah Berhad, bagi mengembangkan operasi di negeri ini dan mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan.
Kerjasama ini akan menyaksikan lebih banyak pasaraya dibuka di kawasan seperti Penampang, Tuaran, Kudat, Sipitang, Keningau, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau.
Pengarah Urusan Unaco Group, Lau Ngie Chung menekankan komitmen Unaco Group untuk menawarkan barangan keperluan harian yang berkualiti pada harga yang berpatutan kepada pengguna di Sabah.
Beliau juga memuji kestabilan yang dicapai oleh kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, serta dasar mesra pelabur yang telah memainkan peranan penting dalam merealisasikan rancangan pengembangan Unaco Group itu.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kojasa Holdings Bhd, Datuk Zamani Basri, berkata kerjasama ini bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan perniagaan tetapi juga berperanan sebagai pemangkin kepada ekonomi tempatan.
Beliau berkata projek itu dijangka mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan di Sabah.


































