SEOUL: Korea Selatan secara rasmi tergolong dalam kategori negara sangat tua atau ‘super-aged’, apabila 20 peratus daripada populasinya berusia 65 tahun ke atas, dengan wanita mendominasi senarai tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, data Kementerian Dalam Negeri menunjukkan bilangan individu berumur 65 tahun ke atas kini mencecah 10.24 juta daripada keseluruhan penduduk negara, iaitu 51.22 juta.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), negara dengan lebih tujuh peratus daripada populasi 65 tahun ke atas diklasifikasikan sebagai masyarakat yang semakin tua, makala lebih 14 peratus dianggap masyarakat tua dan lebih 20 peratus termasuk dalam kategori ‘sangat tua’, lapor Yonhap News.
Korea Selatan sedang bergelut dengan cabaran demografi penduduk yang semakin tua dan kadar kelahiran rendah.
“Dengan menubuhkan kementerian khusus yang memberi tumpuan kepada isu populasi, langkah tindak balas asas dan sistematik sangat diperlukan,” kata seorang pegawai kementerian.
Data menunjukkan wanita membentuk 5.69 juta daripada jumlah keseluruhan 10.24 juta populasi tua, berbanding 4.54 juta lelaki.
Wilayah Jeolla Selatan mencatatkan peratusan tertinggi bagi kumpulan umur ini, manakala bandar pusat Sejong merekodkan kadar terendah iaitu 11.57 peratus.
Sementara itu, ibu negara Seoul menyumbang 19.41 peratus kepada jumlah populasi tua di negara tersebut.
































