Muammar Gadafi
KOTA KINABALU: Mahasiswa, yang sering digambarkan sebagai harapan bangsa dan pewaris kepimpinan negara, kini menjadi perdebatan apabila sebahagian daripada mereka didakwa menyimpang daripada tujuan asal pendidikan.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tamparuli, Muammar Gadafi menyuarakan kekesalannya terhadap tindakan segelintir mahasiswa yang didakwa menghasut rakyat membenci Kerajaan.
Menurut beliau, tindakan ini bukan sahaja mencalarkan imej mahasiswa tetapi juga mengkhianati pengorbanan ibu bapa yang bersusah payah menyokong pendidikan mereka.
“Bagaimana mungkin individu yang sepatutnya menjadi contoh terbaik dalam masyarakat, menggunakan status mahasiswa untuk tujuan yang tidak bertanggungjawab?” soal Muammar.
Beliau menekankan bahawa bantuan kerajaan, termasuk biasiswa yang dibiayai oleh wang rakyat, bertujuan untuk melahirkan pemimpin berwawasan, bukan untuk menyemai kebencian.
“Jika mereka tidak berpuas hati dengan Kerajaan, mereka seharusnya menyalurkan pandangan secara matang dan bertanggungjawab, bukan melalui jalan yang merosakkan masa depan sendiri,” tambahnya.
Muammar turut mencabar mahasiswa yang merasakan perjuangan mereka relevan untuk menubuhkan parti politik dan membuktikan kemampuan mereka di medan pilihan raya. Menurutnya, demokrasi menyediakan ruang untuk bersuara, tetapi tindakan harus selari dengan nilai-nilai kematangan dan tanggungjawab.
“Medan universiti adalah tempat menimba ilmu dan membina karakter, bukan pentas untuk melancarkan agenda politik melulu. Jangan biarkan tindakan sesaat yang didorong emosi menghancurkan harapan ibu bapa, masyarakat dan negara,” katanya lagi.
Beliau menegaskan bahawa kepimpinan memerlukan hikmah dan kesedaran, bukan sekadar retorik murahan yang membakar semangat tanpa hala tuju yang jelas.
Beliau menyeru mahasiswa untuk menggunakan peluang pendidikan yang diberikan untuk mencipta perubahan positif, bukan meruntuhkan asas kepercayaan rakyat terhadap mereka sebagai pelapis kepimpinan masa depan.
“Jika gagal memahami tanggungjawab ini, mereka bukan sahaja akan gagal sebagai pelajar, tetapi juga sebagai anak bangsa yang memikul amanah masa depan Sabah,” tegasnya.
Muammar menyeru mahasiswa untuk kembali kepada landasan sebenar pendidikan dan memainkan peranan mereka dalam membangun negeri dan negara dengan bijak dan bertanggungjawab.


































