Christoper Mandut
KOTA KINABALU: Sambutan luar biasa di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kelmarin untuk menyambut kepulangan Tun Musa Aman selepas pelantikan beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu mencerminkan rasa hormat dan kasih mendalam rakyat Sabah terhadap beliau.
Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Christoper Mandut berkata, pelantikan Tun Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim adalah bukti populariti beliau yang berterusan dan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan beliau.
“Sebagai mantan Ketua Menteri Sabah yang paling lama berkhidmat, Tun Musa membawa pengalaman dan pandangan strategik yang akan memberi banyak manfaat kepada Kerajaan Negeri. Di bawah kepimpinan beliau, Sabah bakal menuju masa depan yang stabil dan progresif.
“Kepimpinan beliau dijangka dapat mewujudkan suasana yang lebih kondusif untuk tadbir urus yang efektif, menggerakkan Sabah ke arah pembangunan dan kemakmuran yang lebih besar,” kata Christoper.
Setelah berkhidmat bersamanya ketika beliau menjadi Ketua Menteri, Christoper berkata, beliau telah melihat kecekapan Tun Musa dan percaya bahawa TYT ke-11 ini akan membawa kestabilan yang amat diperlukan kepada Sabah, yang telah digegarkan dengan video rahsia mengenai dakwaan rasuah melibatkan beberapa wakil rakyat negeri.
“Saya yakin dengan pengalaman luas beliau sebagai pentadbir, beliau mampu membawa integriti, ketelusan dan kepimpinan yang tegas untuk menyelesaikan isu-isu yang membelenggu negeri kita,” kata Christoper.
































