KOTA KINABALU: Borneo International Halal Exhibition (BOHEX) 2024 akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 5 hingga 9 Februari 2025.
Penganjurannya ditunda daripada tarikh asalnya iaitu 21 hingga 25 Disember 2024 berikutan perubahan program.
Pengelola BOHEX 2024, Eminent Source Sdn Bhd memaklumkan, penangguhan ini dilaksanakan adalah untuk memastikan pengalaman yang lebih baik buat semua pihak.
“Keputusan ini dibuat untuk memastikan acara ini dapat memenuhi harapan tinggi semua peserta, pempamer dan pengunjung. BOHEX 2024 juga akan memberikan penekanan khusus kepada pemerkasaan Industri Kecil Sederhana (IKS), meningkatkan pemahaman penduduk setempat mengenai industri halal negara yang merangkumi bukan sahaja makanan tetapi pelbagai bidang yang lain serta menjadi satu penanda aras kepada acara yang akan menghubungkan IKS dengan perniagaan lain melalui “business matching”,” kata Pengarah Urusan Eminent Source, Mohd. Arief Hafizi Mohd. Hashim dalam satu kenyataan kelmarin.
Sementara itu, pihak penganjur dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan, BOHEX 2024 dijangka akan terus menjadi platform utama dalam memacu perkembangan ekonomi halal global terutamanya di Sabah dan bakal menarik pelaburan dan kerjasama dua hala di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
BOHEX 2024 dijangka akan menarik perhatian pemain industri dari seluruh dunia dengan menawarkan peluang rangkaian strategik, pendedahan kepada inovasi teknologi halal terkini, serta pengalaman budaya Borneo yang menarik serta persembahan artis tempatan untuk menarik pelbagai golongan pengunjung.
Hasil kerjasama erat antara JAKIM dan Eminent Source yang merupakan salah satu rakan strategik JAKIM yang bertapak di Sabah, BOHEX 2024 diharapkan dapat menjadi platform dalam memacu pembangunan industri halal terutamanya melibatkan industri kecil sederhana (IKS).
JAKIM turut menyatakan bahawa dengan kerjasama strategik ini ia merupakan bukti komitmen JAKIM untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam industri halal global.
“Dengan potensi besar yang ada di Negeri Sabah, kami yakin BOHEX akan menjadi platform penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi halal di rantau ini.”
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata, BOHEX adalah peluang untuk Sabah memperkukuhkan reputasinya sebagai destinasi utama untuk pelancongan dan perdagangan halal.
“Melalui kerjasama ini, kami bukan sahaja mengetengahkan keunikan budaya Borneo, tetapi juga membuka pintu kepada peluang ekonomi yang luas di peringkat antarabangsa.”
Acara yang akan berlangsung selama lima hari ini akan menampilkan lebih 500 buah tapak pameran yang akan dibuka di beberapa lokasi termasuk Dewan Kinabatangan, Dewan Sipadan, Open Plaza serta “Sunset Walk”. Dari segi penglibatan antarabangsa, sebanyak lapan buah negara telah menunjukkan minat untuk menyertai BOHEX, iaitu Indonesia, Brunei, Singapura, China, Thailand, Jepun, Arab Saudi dan Kemboja.
Antara sorotan Utama BOHEX 2024 adalah:
Pameran Produk Halal Terunggul – BOHEX akan menyediakan ruang untuk lebih daripada 12 sektor industri halal, termasuk makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, fesyen, teknologi dan pelancongan. Pameran ini menampilkan inovasi terkini yang mematuhi piawaian halal global, memberikan peluang kepada pengunjung untuk menerokai produk dan perkhidmatan yang beretika, mampan dan moden.
Peluang Rangkaian Strategik – BOHEX menjadi medan pertemuan dalam kalangan industri, pemimpin global dan inovator teknologi dari pelbagai negara. Peserta boleh berinteraksi secara langsung dengan pembuat keputusan, pembekal, pembeli dan rakan kongsi strategik, membuka peluang kerjasama perniagaan yang bernilai tinggi.
Pengalaman Budaya (sesuai untuk semua lapisan umur) – BOHEX menggabungkan elemen budaya tradisional dan moden Negeri Sabah dalam pelbagai persembahan dan aktiviti, termasuk pertunjukan kebudayaan, bengkel interaktif, permainan tradisional dan demonstrasi masakan halal. Pengunjung akan berpeluang menikmati keunikan budaya Borneo yang kaya sambil meneroka ekosistem halal yang berkembang pesat.
Forum dan Perbincangan Industri – Acara ini akan menampilkan seminar dan forum bertaraf antarabangsa dengan pembicara berpengalaman yang membincangkan trend terkini, cabaran, dan peluang dalam industri halal. Sesi perkongsian ini direka untuk memberikan pandangan kepada peserta mengenai hala tuju masa depan industri halal.
Penganjur mengalu-alukan penyertaan daripada pempamer, agensi kerajaan, serta orang awam untuk turut serta dalam BOHEX 2025. Untuk maklumat lanjut serta pendaftaran, sila layari laman sesawang Eminent Source Sdn. Bhd. di https://www.eminentsources.com/.
































