PAPAR: Yayasan Petronas terus komited membantu masyarakat memerlukan apabila menyerahkan sumbangan kepada 200 keluarga di Parlimen Papar sempena sambutan Krismas yang bakal tiba.
Majlis penyerahan sumbangan itu diadakan semasa Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Krismas, Sentuhan Kasih dan Advokasi Kepenggunaan, yang diadakan di Gereja St. Augustine, Kinarut, di sini, hari ini.
Program ini turut menawarkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran, bagi membantu masyarakat membuat persiapan perayaan dengan lebih mudah.
Sumbangan berupa barangan keperluan harian daripada Yayasan Petronas ini adalah sebahagian daripada inisiatif Program Memacu Kehidupan 2024 yang memberi manfaat kepada keseluruhan 11,850 keluarga di seluruh Malaysia.
Program tersebut telah menyantuni masyarakat sempena pelbagai perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Gawai, Kaamatan, Deepavali dan kini Krismas.
Yayasan Petronas, sebagai cabang impak sosial PETRONAS, menumpukan kepada tiga aspek utama iaitu pendidikan, kesejahteraan dan pembangunan komuniti serta alam sekitar. Melalui pelbagai program yang dijalankan, ia bertujuan membantu meningkatkan kualiti hidup, kelestarian dan kesejahteraan masyarakat di seluruh negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali yang turut hadir di program tersebut, menyatakan penghargaan kepada Yayasan Petronas atas sumbangan tersebut.
Ahli Parlimen Papar itu menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah penting dalam menyokong agenda Ihsan Rahmah MADANI, selain membantu meringankan beban keluarga menjelang perayaan.
“Terima kasih kepada Yayasan Petronas atas komitmen berterusan membantu masyarakat, khususnya di kawasan Papar. Usaha ini amat bermakna kepada penerima dalam menyambut perayaan dengan penuh kegembiraan,” katanya.
Program ini adalah bukti keprihatinan dan kerjasama pelbagai pihak dalam meringankan beban hidup rakyat, selari dengan semangat perpaduan dan keharmonian menjelang musim perayaan.


































