Dr. Joachim menyampaikan piala kemenangan kepada Johan KBS11S 2024, Majlis Perbandaran Tawau sambil disaksikan oleh tetamu kehormat yang lain.
PAPAR: Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dinobatkan sebagai Johan Kejohanan Bola Sepak 11 Sebelah Piala Menteri Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KBS11S) bagi tahun 2024.
Majlis Daerah Putatan (MDP) pula meraih gelaran Naib Johan, manakala tempat Ketiga Bersama dikongsi oleh Majlis Daerah Papar (MDP) selaku tuan rumah dan Majlis Daerah Sipitang (MDS).
Kejohanan yang disertai oleh 14 pasukan dari pelbagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah ini mencapai kemuncaknya dengan majlis penyampaian anugerah di Dewan Datuk Salleh Sulong, Papar, malam tadi. Majlis penyampaian disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Dalam ucapannya, Dr. Joachim menzahirkan penghargaan kepada semua pasukan yang telah bertanding dan jawatankuasa penganjur atas usaha gigih mereka.

Dr. Joachim tengah bergambar bersama dengan semua yang hadir dalam majlis itu.
“Tahniah kepada Majlis Perbandaran Tawau atas kejayaan bergelar juara. Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada semua peserta kerana menunjukkan semangat kesukanan dan kerja berpasukan yang tinggi sepanjang kejohanan,” katanya.
Beliau turut memuji kerjasama semua pihak dalam menjayakan kejohanan ini, sambil menegaskan bahawa acara seperti ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat tetapi juga mempereratkan hubungan antara PBT di Sabah.
“Kejayaan penganjuran kejohanan ini membuktikan bahawa kerjasama erat antara pelbagai pihak mampu menghasilkan acara yang berkualiti dan memberi impak positif kepada komuniti,” tambah beliau.
Selain itu, Dr. Joachim berharap agar kejohanan ini dapat diteruskan secara dwitahunan dan menjadi platform untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan warga PBT di seluruh Sabah.
Majlis ini diakhiri dengan sesi penyampaian trofi kepada pasukan-pasukan pemenang, menyemarakkan lagi semangat kesukanan dan persahabatan yang menjadi teras utama kejohanan ini.
Turut hadir wakil kepada Ahli Parlimen Papar YB Datuk Armizan Hj Mohd Ali, Datuk Rosli Ibrahim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim; Pegawai Daerah Papar, Muhammad Hj Mohd Ali; Pemimpin Pembangunan Masyarakat, DUN Limbahau, Datuk Johnny Mositun dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Papar yang juga pengerusi penganjur KB11S, Jaludin Abd Karim.


































