Ruji Ubi (depan) semasa turun padang melihat kerosakan akibat bah yang melanda SMK Meranti, Pasir Mas, Kelantan.
PASIR MAS: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu tahun hadapan kepada sekolah yang berisiko ditenggelami banjir.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Setiausahanya Datuk Ruji Ubi berkata, SOP itu akan menempatkan makmal, bilik guru dan buku teks di tingkat atas bangunan sekolah bagi menggelakkan ditenggelami air.
Menurutnya, pada masa sama bilik darjah yang terletak di tingkat bawah akan menggunakan peralatan diperbuat daripada plastik bagi mengelakkan kerosakan dan kerugian.
“Saya akan bawa cadangan SOP ini ke peringkat kementerian supaya ia terpakai di semua sekolah.
“Besar harapan saya untuk melihat SOP ini digunapakai bermula tahun hadapan,” katanya ditemui pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meranti di sini kelmarin.
Ruji memberitahu, sebanyak 15 buah sekolah membabitkan rendah dan menengah terjejas banjir di negeri ini.
Katanya, sekolah-sekolah di jajajan Pasir Mas dan Tumpat mengalami kerosakan yang teruk akibat bah itu.
“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pengetua di setiap sekolah perlu membuat laporan segera berkaitan kemusnahan dan kerugian dihadapi.
“KPM seboleh-bolehnya mahu kerosakan itu dibaik pulih segera supaya proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berjalan lancar.


































