Hajiji mempengerusikan mesyuarat MTS di Menara Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Majlis Tenaga Sabah (MTS) hari ini meluluskan penganugerahan projek Solar Berskala Besar (LSS) kepada 15 pembida dengan jumlah kapasiti 199 Megawatt (MW) di bawah proses pembidaan LSS Sabah 2024 yang dikendalikan oleh Energy Commission of Sabah (ECoS).
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, lapan daripada projek itu (113 MW) adalah di Pantai Barat, manakala tujuh lagi untuk menjana 86 MW berada di Pantai Timur.
“Dengan jumlah ini (15 projek) dan projek LSS sedia ada yang sedang beroperasi atau sedang dilaksanakan, jumlah LSS di Sabah akan melebihi 350 Megawatt atau 23 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan menjelang 2027,” kata Hajiji ketika mempengerusikan mesyuarat MTS di Menara Kinabalu, di sini.
Beliau berkata, projek-projek ini, yang mengutamakan syarikat berkaitan kerajaan dan tempatan Sabah, dijangka siap pada penghujung 2026 dan akan membantu mengurangkan kebergantungan kepada subsidi bahan api, terutama di pantai timur.
Beliau juga menyatakan bahawa harga bidaan yang ditawarkan adalah kompetitif melalui penyertaan yang menggalakkan dan akan menjadi penanda bagi projek tenaga di masa hadapan bagi memastikan amalan perolehan terbaik.
MTS juga memperakukan Pelan Induk Pembangunan Hidro Sabah (SHDM) untuk pelaksanaan selama 10 tahun (2028 hingga 2037).
“Kajian SHDM yang dijalankan oleh ECoS mengenal pasti potensi 1,500MW kuasa
hidro. Dengan kapasiti ini, sebagai tambahan kepada 500MW yang telah beroperasi atau diluluskan, jumlah penjanaan kuasa hidroelektrik, berjumlah kira-kira 2,000 MW, akan menjadi salah satu sumber tenaga utama, mencapai lebih 38 peratus campuran kapasiti penjanaan Grid Sabah.
“Ini adalah salah satu penyelesaian jangka panjang yang mampan untuk memenuhi
keperluan penjanaan tenaga kita,” kata Ketua Menteri.
Hajiji berkata, mesyuarat itu juga memberi tumpuan kepada menangani cabaran tenaga semasa di Sabah, termasuk kekurangan kapasiti dan kestabilan grid serta perancangan untuk memenuhi permintaan elektrik jangka sederhana dan panjang.
“Kami telah meluluskan semakan semula Pelan Pembangunan Penjanaan (PDP) bagi memastikan penjanaan yang mencukupi bersesuaian dengan perubahan-perubahan semasa,” katanya.
Mengenai pembekalan elektrik luar bandar, Hajiji mengulangi komitmen Kerajaan
Negeri untuk mencapai liputan 100 peratus di kawasan luar bandar menjelang tahun 2030.
“Kami sedang meneroka pendekatan inovatif untuk memperluaskan akses elektrik kepada masyarakat luar bandar. Setiap rakyat Sabah berhak mendapat bekalan elektrik yang stabil, dan kami akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta untuk merealisasikan usaha ini.
“Inisiatif komprehensif ini menunjukkan dedikasi Kerajaan Negeri untuk membina
infrastruktur tenaga yang kukuh dan mampan untuk Sabah. Kami bukan sahaja menangani keperluan semasa tetapi merancang secara strategik untuk generasi masa depan kita,” katanya.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan,
Datuk Phoong Jin Zhe; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong; dan Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid.


































