PETALING JAYA: Seorang lagi suspek bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat rasuah sebagai balasan mendapatkan projek-projek pembinaan di Sarawak bernilai kira-kira RM250 juta.
Menurut Utusan Malaysia, suspek yang ditahan merupakan rakan kongsi kepada pengarah syarikat yang sebelum ini telah ditahan SPRM pada Khamis lalu.
Penahanan itu menjadikan tiga suspek termasuk seorang jurutera awam telah ditahan SPRM sehingga hari ini.
Menurut sumber, Datuk dengan pengarah syarikat berkenaan berpakat dan berkomplot bagi membolehkan beberapa syarikat mendapat projek-projek pembinaan dikeluarkan pejabat kerja raya sebuah daerah di Sarawak.
“Mereka dipercayai telah melakukan perbuatan itu antara 2022 hingga tahun ini sebagai balasan mendapatkan projek-projek pembinaan yang bernilai kira-kira RM250 juta,” katanya di sini.
Tambah sumber itu, penahanan suspek dilakukan pada pukul 6.30 petang semalam di sebuah daerah negeri Sarawak.
Susulan itu, Majistret Mason Jaro Lenya Barayan membenarkan suspek lelaki berusia lingkungan 50-an direman selama lima hari sehingga 15 Disember ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuching, pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009 serta tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan.

































