Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR: Pengelasan kumpulan T15 iaitu golongan yang tidak akan lagi menikmati subsidi daripada kerajaan termasuk subsidi petrol RON95 akan dimuktamadkan pada suku pertama 2025.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan ingin memberi ruang kepada mereka yang masih belum mendaftar dalam Pangkalan Data Utama (PADU) untuk mengambil tindakan sedemikian.
Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan membenarkan proses rayuan melalui mekanisme yang bakal ditetapkan bagi individu yang didapati tidak lagi layak menikmati pemberian subsidi daripada kerajaan.
“Perkara ini perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum pelaksanaan di stesen minyak kelak. Sebab itu tempoh separuh tahun pertama 2025 untuk pelaksanaan itu perlu diselesaikan (terlebih dahulu).
“Seterusnya barulah mereka yang layak (menerima subsidi akan) tahu dan mereka yang tidak layak (pula) boleh membuat rayuan sesuai dengan garis masa pelaksanaan ditetapkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan dari Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin (PN-Putrajaya) yang memintanya menyatakan garis masa untuk kerajaan mengumumkan kriteria dan definasi kumpulan T15.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kemenangan Donald Trump sebagai Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) dijangka akan menyebabkan isi padu minyak di pasaran menjadi lebih tinggi dan mengenakan tekanan kepada minyak mentah di dunia.
Jelasnya, minyak mentah dunia dijangka berada dalam lingkungan harga dari 70 ke 75 dolar untuk satu tong pada 2025.
“Keadaan ini bermakna jika penyasaran subsidi berlaku pada separuh tahun akan datang, kenaikan harga itu tidaklah setinggi yang disebut-sebut sebelum ini.
“Pada pemahaman saya, sekiranya harga minyak mentah itu sekitar 75 dolar untuk satu tong maksudnya subsidi sekitar 70 sen berbanding sebelum ini kalau
harga minyak mentah adalah 100 dolar maka kenaikan itu boleh mencecah sehingga RM1.50,” jelasnya.
Tambahnya, kerajaan akan terus melakukan kajian bagi memastikan kesan kepada inflasi dapat dikekang.


































