Ag. Marjohan Ag. Amin
KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah, Ag. Marjohan Ag. Amin menyeru agar Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor terus menerajui Kerajaan Negeri bagi memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara dan dilindungi.
Menurut beliau, meskipun terdapat desakan supaya Ketua Menteri meletakkan jawatan, tindakan tersebut dianggap tidak wajar.
Beliau menegaskan bahawa Hajiji telah bertindak melakukan langkah yang tepat demi melindungi Sabah daripada dieksploitasi oleh pihak berkepentingan.
“Oleh itu, saya meminta semua pihak memberikan ruang kepada proses siasatan agar ia dapat dijalankan dengan telus dan adil, tanpa campur tangan politik yang berniat memburukkan nama Ketua Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Marjohan turut berharap agar Hajiji tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak. Menurutnya, adalah lebih baik Ketua Menteri meneruskan pentadbiran sehingga tamat penggal bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan kestabilan negeri.
“Tidak ada keperluan untuk Ketua Menteri memenuhi desakan ini kerana kesinambungan serta kestabilan politik di Sabah perlu dikekalkan sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, Hajiji dalam kenyataannya memberi jaminan untuk memelihara sumber mineral Sabah dengan memastikan pengurusannya dilakukan secara baik dan teliti demi masa depan rakyat.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa Kerajaan Negeri di bawah pentadbirannya telah mengeluarkan lesen melombong (mining lease). Tuduhan tersebut, menurut Hajiji, hanyalah propaganda politik yang berniat jahat untuk mencetuskan kekeliruan dan menggugat kestabilan politik negeri.
“Marilah kita bersama-sama memastikan kerajaan ini terus bertanggungjawab, responsif, dan fokus kepada keperluan rakyat demi masa depan Sabah yang lebih maju dan sejahtera,” katanya.
Hajiji sekali lagi menegaskan komitmennya terhadap prinsip keadilan, ketelusan, dan kejujuran dalam pentadbirannya, sambil memberi jaminan kepada seluruh rakyat Sabah bahawa kepentingan mereka akan sentiasa menjadi keutamaan.


































