Johainizamsahah Haji Johari
KINABATANGAN: Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) DUN N.58 Lamag, Johainizamsahah Haji Johari menyatakan keyakinannya terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, di sebalik desakan beberapa pemimpin UMNO yang menggesa beliau meletakkan jawatan.
Menurut Johainizamsahah, desakan tersebut tidak berasas dan hanya berlandaskan spekulasi tanpa sebarang bukti kukuh.
Beliau menegaskan bahawa pihak berkuasa belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu yang tular dan meminta semua pihak memberi ruang kepada siasatan yang dijalankan.
“Desakan seperti yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, Naim Moktar, jelas tidak masuk akal dan dangkal. Segala isu yang dibangkitkan hanyalah spekulasi dan tidak memerlukan Ketua Menteri untuk tunduk pada tekanan politik sebegitu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Johainizamsahah turut menggesa Pemuda UMNO Sabah untuk menasihati Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin agar melepaskan jawatan ekoran skandal rasuah yang masih dibicarakan di mahkamah.
Katanya, isu ini bukan sahaja mencemarkan reputasi Bung Moktar, malah turut memberi kesan negatif terhadap kepercayaan rakyat kepada institusi kerajaan negeri.
“Adalah lebih bermaruah jika Datuk Seri Bung Moktar melepaskan jawatan secara sukarela demi memulihkan sokongan terhadap UMNO dan memastikan integriti kepimpinan negeri terus terpelihara,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan mendesak pengunduran pemimpin tanpa sebab kukuh boleh meretakkan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan Negeri, yang akhirnya hanya menguntungkan pihak pembangkang.
“Fokus kita seharusnya kepada kebajikan rakyat serta melaksanakan dasar-dasar kerajaan negeri seperti yang telah dirangka dalam Belanjawan Negeri Sabah. Mengutamakan kestabilan dan pembangunan negeri adalah tanggungjawab semua pihak,” katanya.
Johainizamsahah menyeru semua pihak menghentikan politik kotor yang berbentuk fitnah dan serangan peribadi terhadap pemimpin Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-PH Plus. Beliau menegaskan, keutamaan kini adalah memastikan Sabah terus maju dan rakyat mendapat manfaat daripada kepimpinan yang cekap.
“Sebagai pemimpin, kita perlu menjunjung nilai integriti, menunjukkan kematangan, dan sentiasa mendahulukan rakyat dalam segala tindakan,” katanya.


































